Ingkar award tribunal RM51,800, pemilik syarikat umrah dipenjara

Tertuduh Norhayani M Ilham, 44 (dua dari kanan) dijatuhi hukuman penjara tiga tahun oleh Mahkamah Majistret Tawau, selepas didapati bersalah atas tiga pertuduhan gagal mematuhi award Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) dua tahun lalu. 

TAWAU: Mahkamah Majistret di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun terhadap pemilik sebuah syarikat pengurusan pakej umrah kerana gagal mematuhi award Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) membabitkan tuntutan RM51,800.

Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin menjatuhkan hukuman itu terhadap Norhayani M Ilham, 44, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap tiga pertuduhan di akhir kes pembelaan.

Mahkamah memerintahkan tertuduh dihukum penjara setahun bagi setiap pertuduhan dan semua hukuman itu berjalan secara serentak bermula tarikh sabitan hari ini.

Norhayani selaku pemilik syarikat UK Global Halal Digital Marketplace yang juga ibu kepada dua anak berusia empat dan lima tahun itu didakwa gagal mematuhi award TTPM yang mengarahkannya membayar tuntutan kepada tiga penuntut berjumlah keseluruhan RM51,800.

Kesalahan itu dilakukan di Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Tawau di sini dan didakwa mengikut Seksyen 117(1) Akta Perlindungan Pengguna 1999.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman sementara rayuan difailkan di Mahkamah Tinggi dengan jaminan RM2,500 bagi setiap pertuduhan dengan syarat tertuduh dikehendaki memfailkan notis rayuan hari ini juga.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa KPDN Sabah, Gunasegaran Krishnan bersama Malai Rosidi Malai Muhamad, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tertuduh sebelum ini pernah di sabitkan dengan kesalahan sama dan turut dijatuhi hukuman penjara sembilan bulan selepas didapati bersalah oleh mahkamah sama pada 23 April lalu.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama