Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Raisin Saidin berkata, semua Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan sekolah telah diingatkan supaya mematuhi garis panduan ditetapkan sekiranya cuaca berada pada tahap tidak selamat.
“Kita sentiasa memantau cuaca di Sabah dan kementerian pendidikan sentiasa memaklumkan dari semasa ke semasa negeri-negeri yang terlibat dengan cuaca agak panas ini.
“Kita juga telah mengingatkan semua sekolah dan PPD supaya melihat tahap cuaca dan sekiranya pihak meteorologi mengumumkan sesuatu kawasan itu panas, maka kita akan merujuk kepada garis panduan yang sesuai dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Anugerah Kecemerlangan SPM dan STAM, di sini, hari ini.
Menurutnya, keadaan cuaca di Telupid ketika ini masih terkawal dan sesi persekolahan berjalan seperti biasa.
“Telupid setakat ini masih lagi dalam keadaan terkawal dan sekolah masih berjalan seperti biasa,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau berkata pihak sekolah turut diberi kelonggaran membenarkan pelajar memakai pakaian yang lebih sesuai ketika cuaca panas.
“Tidak semestinya kita pakai pakaian seragam biasa digunakan asalkan pakaian itu kemas dan sesuai dipakai murid,” ujar beliau.
Beliau turut mengingatkan sekolah supaya mengurangkan aktiviti luar sekiranya keadaan cuaca terlalu panas.
“Sekiranya cuaca panas atau tidak menggalakkan, aktiviti luar bilik darjah perlu dikurangkan dan kita menggalakkan aktiviti dilaksanakan di tempat tertutup,” tambahnya.
