NABAWAN : Sahira Samson dinobatkan sebagai Juara Unduk
Ngadau Daerah Nabawan sempena Pesta Kaamatan Daerah Nabawan dan Daerah Kecil
Pagalungan 2026 yang berlangsung di sini, pada Sabtu.
Kemenangan itu melayakkan Sahira membawa pulang wang tunai
RM8,000 selain piala dan jambangan bunga, sekali gus mewakili Nabawan ke
pertandingan Unduk Ngadau Peringkat Negeri Sabah di Dewan Hongkod Koisaan,
Penampang pada 31 Mei ini.
Turut menemani Sahira ke pertandingan peringkat negeri ialah
pemenang naib johan, Kerishine Danil yang akan mewakili Daerah Kecil
Pagalungan.
Kerishine memenangi wang tunai bernilai RM6,000 manakala
pemenang tempat ketiga, Gracesya Norahemelyn membawa pulang hadiah wang tunai
RM4,000.
Sementara itu, Dyeneley Daud muncul juara Randawi Tavantang
Kaamatan (RTK) disusuli Mascherlyan Masirin sebagai Naib Johan dan Ardy Ardiano
Martin di tempat ketiga.
Penyampaian hadiah pertandingan RTK disempurnakan oleh Ahli
Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nabawan, Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin manakala
penyampaian hadiah Unduk Ngadau disampaikan oleh isteri Abdul Ghani, Datin
Asiah Doreen Azlan.
Pertandingan itu bukan sahaja menjadi medan mengetengahkan
bakat generasi muda, malah turut membantu memelihara dan memartabatkan warisan
budaya masyarakat tempatan.
