Polis rampas Axia, peralatan disyaki guna untuk curi kabel



PAPAR: Polis merampas sebuah Perodua Axia bersama pelbagai peralatan dipercayai digunakan dalam kegiatan pecah rumah dan curi kabel dalam operasi rondaan cegah jenayah di Lebuhraya Pan Borneo berhampiran Kampung Mook, Kinarut, Ahad lalu.

Dalam kejadian itu, suspek bagaimanapun berjaya meloloskan diri ke kawasan semak berhampiran selepas bertindak meninggalkan kenderaan terbabit.

Ketua Polis Daerah Papar, Superintenden Heryan Mohd Tahir, berkata anggota Unit Kereta Peronda (MPV) Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar yang menjalankan rondaan mengesan kenderaan berkenaan dalam keadaan mencurigakan.

“Pemandu kenderaan terbabit kemudian bertindak melarikan diri sebelum meninggalkan kereta itu.

“Hasil pemeriksaan lanjut menemui beberapa barangan dipercayai berkaitan kegiatan jenayah termasuk bahan disyaki dadah jenis syabu,” katanya dalam kenyataan media, semalam.

Beliau berkata, polis turut merampas mesin pemotong, chain block, kabel tembaga, alat pemotong wayar serta sebuah telefon bimbit yang dipercayai milik suspek.

Katanya, semua barang rampasan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

“Usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan pihak polis,” katanya.

Heryan berkata, kejayaan itu membuktikan komitmen dan kecekapan anggota MPV BPJKK IPD Papar dalam memperkukuhkan rondaan pencegahan jenayah bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terus terpelihara.

Beliau turut meminta orang ramai tampil menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan curi kabel kepada Pusat Gerakan IPD Papar menerusi talian 088-916064 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama