Sabah tangguh AKPS, pertahan autonomi imigresen

 

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah memutuskan untuk menangguhkan pelaksanaan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) di negeri ini kerana bimbang berlaku penghakisan kuasa autonomi imigresen yang menjadi hak istimewa Sabah sejak pembentukan Malaysia.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, keputusan itu dibuat selepas Mesyuarat Jemaah Menteri Sabah meneliti beberapa isu semasa berkaitan pelaksanaan AKPS di Sabah.

Menurutnya, kerajaan negeri mendapati terdapat elemen yang boleh menjejaskan kuasa serta hak keistimewaan imigresen Sabah dari segi perundangan dan pengoperasian imigresen.

Katanya, pelaksanaan AKPS akan mengambil alih peranan Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah di pintu masuk negeri ini, namun Pihak Berkuasa Negeri tidak mempunyai kuasa secara langsung terhadap agensi berkenaan.

“Kuasa kerajaan negeri hanya melalui Pengarah Imigresen Negeri Sabah seperti diperuntukkan di bawah subseksyen 6(3) Akta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia 2024 [Akta 860].

“Selain itu, kerajaan negeri turut mengesan percanggahan antara Akta 860 dan Akta Imigresen 1959/63 [Akta 155] yang boleh menjejaskan kelancaran dan kesempurnaan tugas penguatkuasaan di pintu masuk Sabah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hajiji menegaskan, kuasa autonomi imigresen Sabah dan Sarawak adalah hak yang tidak boleh dirunding kerana ia termaktub dalam semangat pembentukan Malaysia melalui Malaysia Agreement 1963 (MA63).

“Kerajaan Negeri Sabah memutuskan untuk menangguh dasar dan pelaksanaan AKPS di Sabah sehingga memperoleh persetujuan bahawa tidak berlaku sebarang penghakisan terhadap hak istimewa serta kuasa autonomi imigresen Sabah dan Pihak Berkuasa Negeri.

“Ia penting bagi menjamin perlindungan kedudukan Sabah dari segi perlembagaan sentiasa terpelihara,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama