![]() |
KOTA KINABALU: Komuniti Kristian Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sabah mengadakan sembahyang khas sempena Sambutan Hari Polis ke-219 di Gereja Skyline SIB, di sini, pada Rabu.
Majlis itu dihadiri Ketua Jabatan Pengurusan IPK Sabah, Datuk Ahsmon Bajah bersama isteri, Datin Emmy Suin selaku Ketua Biro Kebajikan Perkep IPK Sabah.
Hadir sama, Ketua Jabatan Logistik dan Teknologi IPK Sabah, Wong Leong Meng, Ketua Polis Daerah Penampang, Sammy Newton, wakil Gereja Skyline SIB, Penatua Sylvester Moloyos serta Pastor Dason Yalif.
Program tahunan itu menghimpunkan kira-kira 480 peserta terdiri daripada warga pasukan, pesara polis, sukarelawan polis, polis bantuan, SUKSIS Universiti Malaysia Sabah, ahli keluarga polis serta kakitangan awam.
Sehubungan itu, seramai 11 pesara polis turut menerima sumbangan sebagai tanda penghargaan atas jasa dan khidmat mereka sepanjang berbakti dalam pasukan.
Sumbangan berkenaan disampaikan oleh Ketua Jabatan Pengurusan, Datuk Ahsmon Bajah.
Program itu disifatkan sebagai wadah dalam memperkukuh nilai kerohanian, integriti, perpaduan dan semangat kekitaan dalam kalangan warga pasukan.


