Sabah laksana langkah drastik atasi kesesakan di Pelabuhan Sepanggar - Ewon

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah melaksanakan beberapa langkah drastik termasuk pemindahan sementara operasi Roll-on Roll-off (RORO) bagi mengatasi isu kesesakan di Pelabuhan Kontena Teluk Sapangar (SBCP).

Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata, langkah itu adalah antara dua inisiatif baharu yang diluluskan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 13 Mei lalu.

Menurutnya, operasi RORO akan dipindahkan sementara dari SBCP ke Pelabuhan Kota Kinabalu bermula 15 Mei bagi meningkatkan kapasiti pengendalian kontena di pelabuhan berkenaan.

“Pemindahan operasi RORO ini dijangka meningkatkan kapasiti pemunggahan kontena di dermaga sebanyak 20 peratus.

“Selain itu, pelaksanaan Berthing Window Programme bermula 22 Mei ini akan membantu mengurangkan kesesakan kapal di perairan melalui sistem penjadualan slot masa berlabuh,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri memandang serius isu kesesakan di SBCP kerana ia memberi kesan kepada rantaian bekalan dan aktiviti perdagangan di Sabah.

Katanya, sebanyak lapan pelan tindakan sementara yang diluluskan sebelum ini turut sedang dilaksanakan secara berperingkat.

Antara langkah terbabit termasuk penyediaan kawasan tambahan seluas 14 ekar bagi meningkatkan kapasiti penyimpanan kontena selain pengurangan tempoh simpanan percuma kontena semasa musim puncak daripada lima hari kepada tiga hari.

Menurutnya, pelaksanaan Vehicle Booking System (VBS) yang diwajibkan kepada semua pengendali lori sejak 1 April lalu juga dijangka membantu mengurangkan kesesakan di pintu masuk pelabuhan.

Dalam pada itu, Ewon berkata, semua agensi kerajaan berkaitan turut bersetuju menyokong operasi pelabuhan selama 24 jam termasuk pada cuti am tertakluk kepada pemakluman awal dan permohonan berkaitan.

“Bagi memastikan semua pelaksanaan ini dipantau secara menyeluruh dan berkesan, satu pasukan petugas khas telah ditubuhkan dan saya sendiri akan mempengerusikan task force berkenaan.

"Operator pelabuhan DPW Sabah juga sedang melaksanakan beberapa penambahbaikan peralatan pengendalian kontena termasuk penyewaan Reach Stackers, Internal Transfer Vehicles (ITVs) dan Rubber Tyred Gantry Crane (RTG) secara berperingkat sehingga 2027," katanya.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama