KOTA KINABALU: Kontinjen belia Sabah sekali lagi mencatat penyertaan tertinggi pada Sambutan Hari Belia Negara (HBN) 2026 apabila seramai 500 peserta hadir memeriahkan program yang berlangsung di X Park Sendayan, Seremban, Negeri Sembilan.
Presiden Majlis Belia Sabah (MBS), Abqaree Fawwaz Abekan berkata, penyertaan besar itu membuktikan komitmen berterusan belia Sabah dalam menyahut agenda pembangunan belia di peringkat nasional.
Menurutnya, kontinjen belia Sabah saban tahun merekodkan jumlah penyertaan tertinggi pada sambutan HBN yang dianjurkan di negeri-negeri terpilih di seluruh negara.
“Ini merupakan bukti komitmen berterusan belia Sabah yang didokong oleh kerajaan negeri dalam usaha membangun belia di peringkat kebangsaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Hadir sama pada sambutan itu ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari.
Dalam pada itu, beliau berharap kerajaan Persekutuan khususnya Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dapat meningkatkan komitmen terhadap pembangunan belia di Sabah yang kini mempunyai populasi kira-kira 2.2 juta penduduk.
Katanya, sokongan dalam bentuk geran pembangunan keusahawanan, kesukarelawanan, kepimpinan, sukan dan teknologi amat diperlukan bagi memenuhi keperluan golongan belia di negeri ini.
“Sokongan dalam bentuk geran pembangunan keusahawanan, kesukarelawanan, kepimpinan, sukan dan teknologi merupakan keperluan belia Sabah yang akan turut memberi impak terhadap pembangunan negeri Sabah bagi jangka panjang,” jelasnya.
Terdahulu, kontinjen Sabah diketuai Pembantu Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Seri Anil Sandhu ke Sambutan HBN 2026 yang berlangsung di X Park Sendayan pada Jumaat.
