KOTA KINABALU: Kegembiraan sekumpulan kanak-kanak mencari ikan di Sungai Rampayan berhampiran Kampung Dombung, Menggatal bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka ditemukan lemas dalam kejadian pada petang Rabu.
Mangsa, Akil Hamizan Ahmad, 11, dipercayai ke sungai berkenaan bersama sembilan rakannya yang tinggal di kawasan berhampiran kira-kira jam 3.05 petang.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, hasil siasatan awal mendapati mangsa bersama seorang rakannya dipercayai tersasar sebelum dihanyutkan arus sungai.
Menurutnya, rakan-rakan mangsa kemudian mendapatkan bantuan orang awam sebelum kejadian dilaporkan kepada pihak polis.
“Anggota dari Balai Polis Manggatal yang menerima laporan terus ke lokasi bagi menjalankan tindakan awal.
“Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas pula tiba kira-kira jam 4 petang untuk menjalankan operasi mencari dan menyelamat,” katanya dalam kenyataan media, hari ini
Beliau berkata, mangsa berjaya ditemukan pada jam 4.17 petang sebelum bantuan pernafasan kecemasan (CPR) diberikan di lokasi kejadian.
“Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Likas menggunakan ambulans untuk mendapatkan rawatan lanjut, namun disahkan meninggal dunia pada jam 5.46 petang oleh doktor yang merawat,” katanya.
Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
Dalam pada itu, Kasim menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati ketika menjalankan aktiviti di sungai terutama ketika cuaca tidak menentu kerana arus boleh berubah secara tiba-tiba dan boleh mengancam keselamatan.
