Rumah, tiga kenderaan dan enam motosikal musnah dalam kebakaran di Tenom


TENOM: Sebuah rumah jenis tidak kekal musnah sepenuhnya dalam kebakaran di Skim LIGS Laut Seberang, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.37 pagi itu, kebakaran turut memusnahkan dua kenderaan dan enam motosikal, manakala sebuah lagi kenderaan jenis Proton Satria mengalami kerosakan kira-kira 10 peratus pada bahagian bumper hadapan.

Ketua Balai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tenom, Mudi Pengiran berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.37 pagi sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi kejadian.

“Pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 3.02 pagi dan mendapati sebuah rumah berukuran 40x30 kaki terbakar 100 peratus.

“Turut terbakar ialah dua buah kenderaan yang musnah sepenuhnya, sebuah Proton Satria terbakar 10 peratus pada bahagian bumper hadapan serta enam motosikal yang terbakar sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan bomba, hari ini.

Menurut beliau, operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran sepanjang 200 kaki dengan dua pancutan air daripada jentera bomba.

Katanya, kebakaran berjaya dikawal pada jam 3.33 pagi sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 6.18 pagi selepas memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi kejadian.

“Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam insiden ini,” tambah beliau.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama