RM1.5 bilion bukti GRS tidak berdiam diri tuntut hak Sabah

Foto Jabatan Penerangan Daerah Tawau


KOTA KINABALU: Peningkatan bayaran interim kepada Sabah daripada RM600 juta kepada RM1.5 bilion yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuktikan kerajaan negeri tidak pernah berdiam diri dalam memperjuangkan hak Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, peningkatan sebanyak RM900 juta itu adalah hasil pendekatan rundingan yang dilaksanakan Kerajaan Negeri Sabah bersama Kerajaan Persekutuan selama ini.

Katanya, pengumuman berkenaan sekali gus menepis dakwaan sesetengah pihak yang mendakwa kerajaan negeri gagal memperjuangkan hak Sabah, khususnya berkaitan tuntutan 40 peratus hasil bersih Persekutuan.

"Perjuangan hak Sabah bukan diukur melalui siapa yang paling lantang bersuara atau paling banyak membuat kenyataan di media sosial.

"Ia perlu dinilai berdasarkan hasil yang berjaya dibawa pulang untuk rakyat dan negeri. Pengumuman peningkatan bayaran interim ini membuktikan usaha kerajaan negeri selama ini membuahkan hasil," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Nizam yang juga Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah berkata, tuntutan hak Sabah di bawah MA63 bukan isu yang boleh diselesaikan secara mudah kerana membabitkan pelbagai aspek termasuk perundangan, kewangan dan pentadbiran.

Menurutnya, proses itu memerlukan rundingan berterusan, penelitian serta kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memilih pendekatan tegas tetapi berhemah dalam memperjuangkan hak negeri tanpa menjejaskan hubungan kerja dengan Kerajaan Persekutuan.

"Pendekatan ini membolehkan rundingan diteruskan dan akhirnya menghasilkan peningkatan bayaran interim yang lebih besar sementara mekanisme pelaksanaan hak 40 peratus dimuktamadkan.

"RM1.5 bilion ini mungkin bukan penyelesaian akhir, tetapi ia perkembangan penting yang menunjukkan tuntutan Sabah terus didengar dan diberi perhatian," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, penegasan Perdana Menteri bahawa pelaksanaan hak 40 peratus kepada Sabah kini hanya menunggu perincian mekanisme pelaksanaan adalah satu perkembangan positif dalam sejarah perjuangan MA63.

Katanya, kenyataan itu menunjukkan isu berkenaan bukan lagi tertumpu kepada persoalan sama ada ia akan dilaksanakan atau tidak, sebaliknya bagaimana ia akan dilaksanakan.

"Rakyat Sabah mahukan penyelesaian segera dan kerajaan memahami perkara itu. Namun, dalam isu besar seperti ini, keputusan yang dibuat perlu kukuh dan mampu memberi manfaat jangka panjang kepada negeri.

"Kerajaan negeri akan terus memperjuangkan hak Sabah sehingga penyelesaian muktamad dapat dicapai," katanya.

Beliau berkata, Parti Gagasan Rakyat akan terus menyokong usaha kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan bagi memastikan pelaksanaan hak 40 peratus hasil bersih Persekutuan dapat dimuktamadkan secara adil dan telus.

"Pengumuman RM1.5 bilion ini membuktikan jalan rundingan yang dipilih GRS bukan jalan lemah, sebaliknya jalan yang membawa hasil kepada Sabah dan rakyatnya," katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama