Lebih 900 pelancong disambut meriah di KKIA sempena Kaamatan

KOTA KINABALU: Seramai lebih 900 pelancong disambut meriah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) sempena sambutan Pesta Kaamatan dalam usaha mempromosikan budaya Sabah kepada pengunjung tempatan dan antarabangsa.

Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim berkata sambutan berkenaan bertujuan memperkenalkan keunikan budaya masyarakat Sabah kepada pelancong sebaik sahaja mereka tiba di negeri ini, sekali gus menjadikan Kaamatan sebagai salah satu tarikan utama pelancongan.

Katanya, majlis sambutan itu juga merupakan sebahagian daripada inisiatif promosi pelancongan budaya oleh Tourism Malaysia bersama rakan strategik termasuk pihak pengurusan lapangan terbang dan agensi pelancongan negeri.

Antara pengisian program termasuk persembahan kebudayaan, sambutan mesra pelancong serta penerangan ringkas mengenai perayaan Kaamatan yang menjadi lambang perpaduan masyarakat di Sabah.

“Kehadiran pelancong yang mencecah 1000 orang itu menunjukkan peningkatan minat terhadap Sabah sebagai destinasi pelancongan berasaskan budaya.

“Sebagai contoh tadi, ada seorang pelancong dari India yang datang ke Sabah untuk melihat kebudayaan yang ada di negeri Sabah.

“Ramai pelancong menunjukkan rasa teruja apabila disambut dengan persembahan budaya sebaik tiba di KKIA. 

“Ini memberi pengalaman awal yang unik kepada mereka mengenai Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyambut pelancong di perkarangan ketibaan domestik KKIA, di sini, pada Sabtu. 

Hadir sama, Pengarah Bahagian Sumber Manusia Toursism Malaysia, Muhamad Nasir Pahmi dan Pengarah MOTAC Sabah, Chong Wai Kit.

Beliau berkata, sebahagian pelancong turut merancang untuk mengunjungi Pusat Kebudayaan KDCA bagi menyaksikan sendiri sambutan utama Kaamatan.

“Pelancong akan melihat sendiri sambutan perayaan utama seperti Pesta Kaamatan ini diraikan di Sabah dan bagaimana masyarakat tempatan meraihkannya secara beramai-ramai,” ujarnya. 

Tambah beliau, inisiatif itu juga dilihat memberi impak positif kepada industri pelancongan negeri apabila hotel-hotel di sekitar Kota Kinabalu dilaporkan menerima tempahan tinggi sepanjang musim perayaan ini. 

Program sambutan pelancong sempena Kaamatan itu merupakan antara usaha berterusan untuk menjadikan lapangan terbang sebagai platform promosi budaya Malaysia kepada dunia.

Dalam pada itu, bersempena sambutan tersebut, satu Program Mega Fam selama lapan hari melibatkan 15 pempengaruh dan wakil media dari Asia Tenggara, Asia Timur dan Asia Selatan termasuk Filipina, Vietnam, China, Korea Selatan dan India akan diadakan di kedua-dua negeri bermula 29 Mei hingga 5 Jun 2026 bagi mempromosikan sambutan budaya Malaysia yang penuh warna-warni.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama