KOTA KINABALU: Seekor buaya tembaga seberat kira-kira 300 kilogram berjaya ditangkap penduduk kampung di kawasan pantai berhampiran bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.
Reptilia sepanjang 3.7 meter itu ditangkap selepas dikesan kira-kira 100 meter dari pesisir pantai sebelum mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penduduk dan pengunjung kawasan berkenaan.
Difahamkan, lebih 20 penduduk kampung bergabung tenaga menggunakan pukat bagi menangkap buaya terbabit.
Bagaimanapun, usaha awal mereka gagal apabila reptilia itu bertindak agresif dan cuba melepaskan diri.
Buaya berkenaan akhirnya berjaya ditangkap pada cubaan ketiga sebelum diserahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.
Menurut sumber, reptilia itu dipercayai sering kelihatan di kawasan pesisir pantai berhampiran Universiti Malaysia Sabah (UMS) sejak beberapa minggu lalu.
Sementara itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kota Kinabalu, Kapten (PA) Aizex Junior berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 8.02 pagi.
Katanya, sepasukan 10 anggota diketuai Leftenan Muda (PA) Umi Kifli dikerahkan ke lokasi bagi membantu operasi memindahkan reptilia berkenaan.
“Pasukan operasi bersama penduduk kampung terpaksa mengangkat buaya itu sejauh kira-kira 500 meter mendaki bukit untuk dibawa keluar dari kawasan pantai.
“Buaya itu kemudian dibawa Pusat Kawalan Operasi Unit (PKOU) Sulaman sebelum diserahkan kepada Jabatan Hidupan Liar Sabah untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada penduduk kampung yang membantu menjayakan operasi menangkap buaya terbabit.
