TAWAU: Seorang pelajar lelaki ditahan selepas disyaki terbabit dalam kejadian pecah rumah dan melarikan wang tunai berjumlah RM3,630 di Kampung Bergosong Besar, di sini.
Suspek berusia 15 tahun diberkas sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau dalam operasi kira-kira jam 2.30 pagi di sebuah hotel di Jalan Haji Karim, di sini.
Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintenden Wilynton Enchana Watt, berkata tangkapan dilakukan hasil risikan dan maklumat susulan laporan polis yang diterima pada 21 Mei lalu.
Beliau berkata, kejadian disedari mangsa selepas mendapati tiga dompet berisi wang tunai yang disimpan di dalam almari pakaian di bilik rumah mereka hilang.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati almari berkenaan telah digeledah selain terdapat kesan umpilan pada bahagian lantai kayu di tandas serta dapur belakang rumah yang dipercayai menjadi laluan masuk suspek.
“Jumlah kerugian dianggarkan RM3,630 membabitkan wang tunai milik mangsa dan ibu bapanya,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, polis turut menjalankan usaha mengesan semula barang kes selain melakukan ujian saringan air kencing terhadap suspek bagi membantu siasatan.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan pecah rumah dan curi.
