KOTA KINABALU: Program 80 Menu Sabahan sempena Sambutan Ulang Tahun Hari RTM Ke-80 dilihat mampu menjadi platform terbaik dalam mempromosikan pelancongan gastronomi Sabah serta memperkenalkan keunikan budaya tempatan kepada pelancong.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar berkata, makanan tradisional bukan sekadar sajian harian, sebaliknya membawa identiti, adat dan warisan masyarakat pelbagai kaum di negeri ini.
“Makanan tradisional bukan sekadar sajian, tetapi merupakan cerita tentang budaya, adat dan identiti masyarakat yang diwarisi turun-temurun,”katanya ketika merasmikan program berkenaan di sini, pada Ahad.
Hadir sama, Pembantu Menteri, Datuk Ruslan Muharam dan Pengarah RTM Sabah, Yusni Mohamad Ali.
Menurutnya, program anjuran Radio Televisyen Malaysia (RTM) Sabah itu amat bertepatan dengan usaha kerajaan memperkukuh sektor pelancongan negeri khususnya sempena Tahun Melawat Sabah.
Beliau berkata, keunikan makanan tradisional Sabah terhasil daripada penggunaan sumber asli dan hasil bumi tempatan seperti serai, kunyit, cili, pandan, ulam-ulaman, sayur kampung dan pelbagai herba tempatan.
Katanya, banyak bahan masakan itu ditanam sendiri menerusi kebun dapur yang menjadi amalan masyarakat sejak dahulu.
Dalam pada itu, Jamawi berkata program berkenaan turut membawa mesej penting mengenai kepentingan Inisiatif Kebun Dapur dalam membantu masyarakat mendapatkan sumber makanan segar dan sihat selain menjimatkan kos perbelanjaan harian.
“Dalam keadaan kos sara hidup yang semakin mencabar, amalan menanam sendiri bahan asas masakan di rumah adalah satu langkah yang sangat baik dan praktikal,” ujar beliau.
Beliau turut memuji usaha RTM Sabah menganjurkan program berteraskan budaya dan komuniti yang bukan sahaja meraikan sejarah penyiaran negara selama lapan dekad, malah membantu memartabatkan warisan dan gaya hidup masyarakat tempatan.
Katanya, kementeriannya akan terus menyokong usaha memperkasa makanan tradisional Sabah sebagai produk pelancongan dan identiti negeri.
