Projek Pembangunan, Mitigasi Banjir Penampang Berjalan Lancar - Ewon

 

PENAMPANG : Beberapa projek pembangunan infrastruktur dan mitigasi banjir berjalan lancar dan dijangka siap dalam masa terdekat.

Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Ewon Benedick berkata, beberapa perkembangan melibatkan projek pembangunan infrastruktur penting kini sedang rancak berjalan dan giat dilaksanakan.

"Projek pembinaan Tamu Donggongon yang terbengkalai sejak sekian lama serta pembinaan Kapayan Square kini berjalan lancar dan dijangka dapat digunakan masyarakat tidak lama lagi.

"Kerja-kerja pendalaman dan pelebaran Parit Donggongon kini siap sepenuhnya, sekali gus mengurangkan kegusaran warga Penampang terhadap risiko banjir.

"Sebagai jaminan masa hadapan, saya ingin mengumumkan bahawa fasa seterusnya bagi projek mitigasi banjir di Penampang telah pun diluluskan untuk diteruskan di bawah peruntukan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13)," katanya ketika merasmikan Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Penampang di Buhavan Square, Donggongon, di sini pada Sabtu.

Beliau berkata aspek perhubungan luar bandar di daerah itu turut memperlihatkan perkembangan memberangsangkan apabila Jambatan Babagon Timbangon kini sedia digunakan sepenuhnya oleh penduduk.

"Selain itu, projek pembinaan Jalan Terian-Buayan di kawasan Terian juga sedang berjalan lancar dan menunjukkan momentum kemajuan positif," ujarnya.

Menyentuh aspek ekonomi, Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang berkata kekangan keluasan tanah bagi kawasan industri kecil di Penampang memerlukan pendekatan baharu khususnya dalam kalangan usahawan tempatan.

Sehubungan itu, beliau menggalakkan usahawan Penampang meneroka peluang perniagaan di kawasan taman perindustrian lain termasuk di Kota Kinabalu, Pusat Perindustrian Minyak Sawit (POIC), Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP), Kudat dan Kota Belud bagi memperluaskan potensi ekonomi mereka.

Katanya, langkah itu penting supaya aktiviti ekonomi dan perniagaan usahawan tempatan tidak terus tertumpu di Penampang sahaja, sebaliknya mampu berkembang ke tahap lebih tinggi.

Turut hadir, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ceasar Mandela Malakun; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Moyog, Datuk Donald Peter Mojuntin; Pembantu Menteri II, Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Datuk Juil Nuatim; Timbalan Presiden KDCA, Clarence Bongkos Malakun dan Presiden Majlis Perbandaran Penampang (MPP), Noemi Dyena John Trent.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama