KOTA KINABALU : Kerajaan terus komited memastikan kebajikan
rakyat terus terpelihara menerusi pelbagai inisiatif di bawah kerangka Malaysia
MADANI.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak),
Datuk Ts Mustapha Sakmud berkata, inisiatif tersebut termasuk bantuan kos sara
hidup dan program pembangunan yang menyeluruh.
"Pelbagai bantuan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR),
subsidi bahan api dan subsidi barangan keperluan asas terus dilaksanakan bagi
membantu meringankan beban rakyat.
"Di Sabah, kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan
dan Kerajaan Negeri membolehkan pelaksanaan pelbagai program pembangunan serta
bantuan kebajikan disalurkan secara lebih menyeluruh termasuk kepada masyarakat
luar bandar dan pedalaman.
"Usaha ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan
untuk memastikan tiada rakyat yang tercicir daripada arus pembangunan
negara," katanya ketika merasmikan Program Satelit Khas: Kenduri Rakyat
MADANI Santuni Kampung Talungan di Padang SK Talungan, Telipok, pada Sabtu.
Program berkenaan merupakan anjuran Jabatan Penerangan
Malaysia (JAPEN) dengan kerjasama strategik Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi
(PACU).
Beliau berkata, program seperti itu juga menjadi platform
penting dalam memperkukuh hubungan antara kerajaan dan rakyat melalui
pendekatan santai, mesra dan inklusif.
Jelasnya, program berkenaan membuka ruang kepada rakyat
mendapatkan maklumat tepat, menyuarakan pandangan serta berinteraksi secara
langsung dengan pelbagai agensi kerajaan melalui mini karnival perkhidmatan
yang disediakan.
Program tersebut turut dimeriahkan dengan aktiviti rewang
sekampung, pertandingan Sugandoi Kaamatan, pertandingan Unduk Ngadau Kaamatan,
Poket Talk isu semasa oleh agensi kerajaan negeri dan persekutuan yang
mengambil bahagian serta penyampaian 100 Kotak Kasih MADANI sumbangan JAPEN.
Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Strategik)
Jabatan Penerangan Malaysia, Rubaayah Osman, Pengarah JAPEN Negeri Sabah,
Jainisah Mohd Noor serta Pengarah Parlimen Sepanggar, Ahsim Jamat.
