KOTA KINABALU: Program Kenduri Rakyat MADANI menjadi
platform penting dalam memperkukuh penyampaian maklumat kerajaan secara terus
kepada masyarakat di peringkat akar umbi.
Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia Sabah (JAPEN), Jainisah
Mohd Noor berkata, program setelit khas di Kampung Talungan tersebut bukan
sahaja mengeratkan hubungan antara pemimpin dan rakyat malah menjadi wadah
untuk menyampaikan dasar, inisiatif serta bantuan kerajaan terus kepada
kumpulan sasar.
Menurut beliau, pelbagai agensi kerajaan dan swasta turut
berkolaborasi sepanjang program berlangsung sekali gus memperkasakan usaha
pemasaran maklumat kerajaan kepada rakyat.
"Program ini juga menjadi platform untuk mendekati
masyarakat melalui pendekatan mesra yang berkonsepkan semangat setiakawan dan
kekeluargaan," katanya ketuka berucap dalam program tersebut yang diadakan
di Padang Sekolah Kebangsaan Kampung Talungan, Telipok, pada Sabtu.
Beliau berkata, penganjuran program dalam kehangatan
sambutan Bulan Kaamatan memberi peluang kepada pihak pengurusan jabatan dan
agensi yang mengambil bahagian untuk turun padang dan bertemu secara langsung
dengan pelbagai lapisan masyarakat di kawasan Sepanggar.
Program tersebut dianjurkan oleh Jabatan Penerangan Malaysia
(JAPEN) Sabah dengan kerjasama strategik Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi
(PACU) dan dirasmikan oleh dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri
(Sabah dan Sarawak), Datuk Ts Mustapha Sakmud.
Katanya, antara pengisian utama program ialah Rewang Perdana
melibatkan aktiviti gotong-royong menyediakan juadah, Mini Karnival
Perkhidmatan Kerajaan, sesi temu mesra pemimpin bersama rakyat serta
persembahan kebudayaan.
Program berkenaan turut mendapat kerjasama pelbagai agensi
antaranya Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sepanggar, Pejabat Unit Pemimpin
Pembangunan Masyarakat (UPPM) Inanam, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK),
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Jabatan Pendaftaran Negara Sabah, Agensi
Antidadah Kebangsaan (AADK) Negeri Sabah, City University Malaysia dan beberapa
agensi di bawah Kementerian Komunikasi.
