Polis Sabah diseru celik kewangan, jaga kesihatan mental

Mohd Azhar ketika berucap mewakili Jauteh perasmian Karnival Pengurusan Kewangan, Harta Pusaka, Kebajikan dan Pengurusan Psikologi Peringkat Kontinjen Sabah 2026.

KOTA KINABALU: Warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabah diseru menjadi individu celik kewangan serta memberi perhatian serius terhadap kesihatan mental dalam menghadapi cabaran tugas harian.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, pengurusan kewangan yang baik termasuk memahami instrumen seperti hibah dan wasiat amat penting bagi menjamin masa depan anggota serta keluarga.

“Amanat saya pada hari ini jelas; saya mahu setiap warga PDRM Sabah menjadi individu yang ‘celik kewangan’.

“Fahamilah instrumen seperti hibah dan wasiat.

“Jangan biarkan kealpaan kita dalam merancang hari ini menjadi bebanan kepada waris di kemudian hari,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada perasmian Karnival Pengurusan Kewangan, Harta Pusaka, Kebajikan dan Pengurusan Psikologi Peringkat Kontinjen Sabah 2026.

Teks ucapan tersebut dibacakan oleh Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Kontinjen Sabah, Datuk Mohd Azhar Hamin yang hadir bagi mewakili beliau.

Sementara itu, beliau turut menegaskan aspek kesihatan mental tidak boleh diabaikan memandangkan tugas anggota PDRM di negeri ini amat mencabar.

“Dalam masa yang sama, aspek kesihatan mental tidak boleh diabaikan. Tugas kita di Sabah sangat mencabar.

“Saya mahu anda semua menggunakan ruang dalam karnival ini untuk mendapatkan sokongan psikologi dan membuang segala stigma terhadap khidmat kaunseling.

“Kesejahteraan minda anda adalah tunjang kepada kecemerlangan operasi kita,” ujarnya.

Menurutnya, penganjuran karnival tersebut mencerminkan keprihatinan kepimpinan dalam memastikan kebajikan warga PDRM terus terpelihara.

Dalam pada itu, beliau turut menekankan peluang pendidikan seperti pengajian separuh masa dan program bekerja sambil belajar yang perlu dimanfaatkan sebagai pelaburan masa depan bagi meningkatkan kerjaya anggota.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama