KOTA KINABALU: Tindakan lantang mengkritik kepimpinan parti
membawa padah apabila enam ahli Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO)
digantung keahlian serta-merta berkuat kuasa semalam, sekali gus menghangatkan
lagi kemelut dalaman parti berkenaan.
Presidennya, Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata, keputusan
itu dibuat menggunakan kuasa di bawah Fasal 49.10 Perlembagaan Parti susulan
dakwaan pelanggaran disiplin serta tindakan yang disifatkan boleh menjejaskan
kestabilan organisasi.
Enam individu terlibat ialah Timbalan Presiden USNO, Datuk
Ibrahim Linggam, bersama Ahmad Kanajaan, Hussin Ibnu Hassan, Mohammad Hafeiz
Hussin, Sazali Justi dan Sallehudin Kasau.
Menurutnya, tindakan itu bersifat sementara
menunggu siasatan terperinci oleh Lembaga Disiplin Pusat.
“Langkah ini diambil bagi memastikan keadaan parti tidak
menjadi lebih kucar-kacir selain memberi ruang kepada siasatan dijalankan
secara teratur,” katanya pada sidang media di sini, semalam.
Dalam perkembangan sama, Pandikar turut melucutkan
pelantikan enam individu sebagai Ahli Majlis Eksekutif Tertinggi (AMET) bagi
sesi 2025 hingga 2028 di bawah Fasal 52.1 Perlembagaan Parti.
Mereka yang terlibat ialah Datu Abdul Lalih Abah, Dr
Masjidin Datu Moksan, Dayang Norasiken Nonoi, Jamri Sabu, Rusulan Rahaban dan
Datuk Edmund J. Doudilim.
Beliau menjelaskan, keputusan itu dibuat susulan tindakan
beberapa pihak yang didakwa tidak sehaluan dengan kepimpinan parti selain
berpotensi mencetuskan perpecahan ketika krisis dalaman memuncak.
“Semua pemegang jawatan perlu menjaga kesatuan parti dan
tidak bertindak sehingga menjejaskan kestabilan organisasi,” katanya.
Beliau berkata, struktur AMET akan disusun semula bagi
memastikan kepimpinan parti terus berfungsi dengan berkesan.
Dalam pada itu, Pandikar menafikan tindakan berkenaan dibuat
secara tergesa-gesa, sebaliknya menegaskan ia berlandaskan peruntukan jelas
dalam perlembagaan parti.
Katanya, peluang telah diberikan melalui beberapa siri
mesyuarat, namun ada pihak yang memilih untuk tidak hadir sebelum mengeluarkan
kenyataan terbuka.
“Tindakan tegas ini perlu bagi memastikan parti tidak terus
berdepan ketidakstabilan yang boleh menjejaskan kedudukannya dalam landskap
politik negeri,” katanya.
