![]() |
| Kedua-dua tertuduh dihadapkan ke Mahkamah Majistret Tawau di sini, hari ini, atas pertuduhan mengedar lebih 130 kg syabu April lalu. Foto | SS. |
TAWAU : Dua lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengedar lebih 130 kilogram dadah jenis syabu dalam kejadian di Batu 15, Jalan Apas, bulan lalu.
Tertuduh, Ng Chuan Tong, 51, dan Herman Patte, 35, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin.
Tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh kerana kes berkenaan berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama mengedar dadah berbahaya seberat 130,575.18 gram di lokasi berkenaan kira-kira jam 9.30 malam, 21 April lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Haikal Hazwan Md Yatin yang tidak menawarkan jaminan kerana kesalahan itu tidak boleh diikat jamin.
Kedua-dua tertuduh yang masing-masing bekerja sebagai pemberi pinjaman wang dan 'runner' tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 2 Jun ini sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia.
Kedua-dua tertuduh sebelum ini direman selama 14 hari selepas ditahan dalam operasi Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau susulan penemuan sejumlah besar dadah disyaki syabu dalam sebuah kenderaan utiliti sukan.
