9 pakej Pan Borneo Sabah dijangka siap tahun ini

KOTA KINABALU: Sebanyak sembilan Pakej Kerja Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1A dijangka siap sepenuhnya tahun ini, kata Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan.

Menurutnya, perkembangan itu merupakan berita baik kepada rakyat Sabah yang sekian lama menantikan hasil pelaksanaan projek berkenaan.

“Projek itu telah melibatkan Pakej Kerja satu, tiga, empat, tujuh, lapan, 10, 11, 29 dan 30 serta 11.

“Kita sudah ambil maklum bahawa empat Pakej Kerja telah siap lebih awal iaitu pakej lima, 15, 21 dan 27 antara tahun 2023 hingga 2025.

“Selain itu, tahun depan akan ada empat lagi Pakej Kerja yang akan siap iaitu pakej dua, 28, 12 dan 19.

“Tahun ini, sembilan lagi pakej Pan Borneo Sabah Fasa 1A akan disiapkan,” katanya ada sesi sidang media di Wisma Pan Borneo, di sini, pagi tadi.

Beliau berkata, kerajaan komited mempercepatkan pelaksanaan projek bagi memastikan kemudahan prasarana dapat dinikmati rakyat secepat mungkin.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan empat lagi Pakej Kerja dijangka siap pada tahun depan melibatkan pakej dua, 12, 19 dan 28.

“Dengan siapnya pakej-pakej kerja ini, sebahagian besar projek yang ditunggu rakyat Sabah akan menjadi kenyataan,” jelasnya.

Sementara itu, beliau berkata dua laluan baharu yang menghubungkan Putatan dengan Menggatal tanpa melalui pusat bandar Kota Kinabalu dijangka dibuka Julai ini.

Katanya, pembukaan Pakej Kerja enam dan tujuh itu dijangka membantu mengurangkan kesesakan trafik di Kota Kinabalu terutama bagi pengguna yang tidak mempunyai urusan di bandar raya berkenaan.

Tambah beliau, kerja pengalihan utiliti bagi Pan Borneo Fasa 1B sudah dimulakan melibatkan Sabah Electricity, Jabatan Air dan Telekom Malaysia (TM) selepas isu pelantikan subkontraktor diselesaikan.

“Ini antara usaha kita di bawah Kementerian Kerja Raya melalui Ketua Setiausaha atas arahan menteri supaya koordinasi bersama agensi utiliti ini kita adakan setiap bulan, selain daripada mesyuarat Jawatankuasa Pemandu yang kita adakan juga setiap bulan,” ujar beliau.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama