PM Anwar umum bayaran interim Sabah naik kepada RM1.5 bilion

KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bayaran interim kepada Sabah dinaikkan daripada RM600 juta kepada RM1.5 bilion sementara menunggu penyelesaian muktamad tuntutan 40 peratus hak negeri seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, peningkatan bayaran interim itu mencerminkan komitmen Kerajaan Persekutuan untuk menunaikan hak Sabah meskipun perbincangan mengenai mekanisme pelaksanaannya masih berjalan.

Menurutnya, kerajaan tidak berhasrat melengah-lengahkan pelaksanaan tuntutan berkenaan dan mahu rundingan yang melibatkan Kerajaan Persekutuan serta kerajaan negeri diselesaikan dalam tempoh beberapa bulan.

“Saya fikir tidak munasabah perbincangan itu berlarutan terlalu lama dan mesti diselesaikan dalam beberapa bulan.

“Sementara menunggu penyelesaian muktamad, saya umumkan bayaran interim kepada Sabah dinaikkan daripada RM600 juta kepada RM1.5 bilion,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026, di Hongkod Koisaan KDCA, di sini. 

Anwar berkata, Kerajaan MADANI kekal dengan pendirian bahawa tuntutan 40 peratus hasil Sabah perlu dilaksanakan kerana ia merupakan komitmen yang termeterai sejak pembentukan Malaysia pada tahun 1963.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan pelaksanaan 40% yang perlu dimuktamadkan itu memerlukan penelitian terperinci kerana sebarang keputusan turut memberi implikasi kepada negeri-negeri lain, khususnya Sarawak.

Dalam pada itu, beliau menegaskan kenaikan bayaran interim itu tidak bermaksud kerajaan mengetepikan tuntutan 40 peratus, sebaliknya merupakan langkah sementara bagi memastikan Sabah terus menerima manfaat sementara proses rundingan dimuktamadkan.

“Bila saya menjadi Perdana Menteri, saya tidak mahu dikenali sebagai orang yang tidak menunaikan janji atau mengkhianati amanah, sebab itu saya tegaskan bahawa Kerajaan MADANI tetap akan melaksanakan janji 40 peratus itu,” jelasnya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama