UPKO sertai GRS langkah tepat perkukuh kesatuan politik tempatan - Azrul

KOTA KINABALU: Keputusan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) memohon menyertai Gabungan Rakyat Sabah (GRS) disifatkan sebagai langkah tepat yang mampu memperkukuh kesatuan politik tempatan serta menjamin kestabilan negeri.

Pemangku Ketua Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Azrul Ibrahim berkata, pihaknya mengalu-alukan permohonan itu yang dilihat sebagai perkembangan positif ke arah menyatukan lebih banyak parti tempatan di bawah satu gabungan yang memperjuangkan kepentingan Sabah.

Katanya, GRS sudah membuktikan kestabilan politik menjadi faktor utama yang membolehkan kerajaan negeri melaksanakan pelbagai agenda pembangunan dan kebajikan rakyat.

"Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Sabah berjaya bergerak lebih baik menerusi pelbagai agenda pembangunan, kemasukan pelaburan, penyelesaian isu asas rakyat serta usaha memperjuangkan hak-hak Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

"Keputusan UPKO ini menunjukkan semakin banyak pihak melihat keperluan untuk parti-parti tempatan bersatu dalam satu kerangka yang lebih kukuh, matang dan berpaksikan kepentingan Sabah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Azrul yang juga Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sabah berkata, politik negeri perlu terus didorong ke arah kerjasama dan penyatuan, bukannya perpecahan yang akhirnya merugikan rakyat.

Menurutnya, penyatuan parti-parti tempatan akan memberi kekuatan lebih besar kepada Sabah dalam menentukan hala tuju pembangunan serta memperjuangkan hak negeri di peringkat Persekutuan.

"Kita mahu melihat politik Sabah terus bergerak ke arah kerjasama dan penyatuan, bukan perpecahan yang akhirnya merugikan rakyat dan melambatkan pembangunan negeri.

"Semua pihak perlu mengutamakan kestabilan, perpaduan dan masa depan Sabah melebihi kepentingan politik sempit," katanya.

Beliau berkata, masa depan Sabah akan menjadi lebih kukuh sekiranya parti-parti tempatan dapat bersatu suara dan tenaga demi kepentingan rakyat serta kemajuan negeri.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama