Perwakilan parti sokong penstrukturan baharu PGRS, disusun semula kepada 26 bahagian

Hajiji (tengah) ketika ditemui pemberita pada sidang media Mesyuarat Khas PGRS, hari ini.


KOTA KINABALU: Pindaan perlembagaan Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) yang melibatkan penstrukturan semula parti daripada 74 bahagian kepada 26 bahagian diluluskan sebulat suara dalam Perhimpunan Agung Khas parti itu, hari ini. 

Presiden PGRS, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, sokongan penuh yang diberikan oleh semua sayap parti membuktikan kesatuan dan kekuatan dalaman PGRS dalam memperkukuhkan organisasi parti.

Menurut beliau, usul pindaan berkenaan mendapat sokongan daripada perwakilan Wanita, Pemuda, Beliawanis dan seluruh ahli parti. 

“Usul-usul semua disokong oleh pembahas-pembahas kita daripada Wanita, Pemuda, Beliawanis dan seluruh ahli parti. 

“Maknanya bahawa pindaan perlembagaan kita ini disokong secara sebulat suara,” katanya ketika ditemui pemberita pada sidang media selepas Perhimpunan Agung Khas PGRS, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini. 

Hajiji yang juga Ketua Menteri berkata, pindaan itu akan dikemukakan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) untuk kelulusan sebelum proses pengemaskinian struktur parti dilaksanakan.

Katanya, penstrukturan baharu itu akan menggunakan sistem berasaskan Parlimen bagi memperkemaskan gerak kerja serta jentera parti.

“Pindaan perlembagaan parti telah pun selesai dan diberi sokongan sebulat suara.

“Ini bermeaksud pindaan parti daripada 74 bahagian kepada 26 telah diluluskan dan akan dikemukakan kepada ROS untuk kelulusan,” jelasnya. 

Mengulas lanjut, beliau berkata bahawa parti itu juga bersedia menghadapi pilihan raya akan datang dengan strategi memperkukuhkan jentera parti di setiap kawasan Parlimen.

Dalam pada itu, kira-kira 200 ahli Parti Warisan di Keningau menyertai PGRS secara beramai-ramai yang diketuai oleh mantan Ketua Bahagian Parti Warisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan, Rasinin Koutis. ‎

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama