SANDAKAN: Dua lelaki tempatan ditahan selepas disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol dalam Operasi Mabuk (Op Mabuk) yang dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner George Abd Rakman berkata, operasi dijalankan di sekitar Batu 4, Jalan Utara, Sandakan melibatkan seorang pegawai kanan bersama 11 anggota trafik IPD Sandakan.
Menurutnya, kedua-dua individu terbabit ditahan mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol melebihi had yang ditetapkan.
“Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun dan denda tidak kurang RM10,000 serta tidak melebihi RM30,000.
“Selain itu, mereka juga boleh hilang kelayakan lesen memandu selama dua tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, sepanjang operasi berkenaan, sebanyak 14 saman turut dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas.
Katanya, pemeriksaan menyeluruh dilakukan terhadap semua pengguna jalan raya bagi memastikan undang-undang serta peraturan jalan raya dipatuhi sepenuhnya selain mengesan kesalahan lain.
George turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya dan tidak memandu dalam keadaan mabuk demi keselamatan diri sendiri serta pengguna jalan raya lain.
“Pemanduan di bawah pengaruh alkohol bukan sahaja membahayakan nyawa sendiri, malah turut mengundang risiko kepada pengguna jalan raya lain,” katanya.
