Penunggang motosikal maut dirempuh pacuan empat roda di Tawau

TAWAU: Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Jalan Tawau-Bombalai, awal pagi Jumaat.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.35 pagi itu, mangsa berusia 34 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima makluman mengenai kejadian tersebut sekitar jam 6.20 pagi.

Katanya, siasatan awal mendapati kemalangan melibatkan sebuah pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang dipandu lelaki tempatan berusia 39 tahun dan sebuah motosikal jenis SYM BX110.

“Semasa kejadian, pemandu pacuan empat roda dalam perjalanan dari bandar Tawau menuju ke Benta Wawasan, manakala mangsa datang dari arah Kampung Haji Matahir menuju ke Kompleks Sukan Tawau.

“Setibanya di satu laluan lurus, pemandu pacuan empat roda dipercayai memotong kenderaan di hadapan sebelum memasuki laluan bertentangan dan melanggar motosikal mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan dari Kementerian Kesihatan Malaysia, manakala pemandu pacuan empat roda tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau membahayakan dan pemandu pikap akan direman bagi membantu siasatan.

Dalam pada itu, Jasmin menegaskan agar semua pengguna jalan raya lebih berwaspada dan tidak mengambil risiko ketika memotong kenderaan.

“Tindakan memotong tanpa memastikan laluan selamat boleh mengundang padah. Polis tidak akan berkompromi terhadap pemandu yang cuai dan membahayakan nyawa pengguna lain,” katanya.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama