Kaamatan 2026 pacu Sabah sebagai hab pelancongan budaya global


PAPAR: Sambutan Pesta Kaamatan 2026 merupakan platform strategik dalam memperkukuh kedudukan Sabah sebagai destinasi pelancongan budaya bertaraf antarabangsa. 


Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam berkata, penganjuran Kaamatan bukan sekadar perayaan tradisi masyarakat Kadazandusun, malah berperanan besar dalam mempromosikan keunikan budaya Sabah ke peringkat global.


Menurut beliau, sambutan tahunan itu turut menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi negeri melalui peningkatan kehadiran pelancong domestik dan antarabangsa.


“Impak ekonomi yang terhasil bukan sahaja merancakkan sektor pelancongan dan perhotelan, tetapi turut memberi limpahan kepada pengusaha kraftangan serta industri kecil dan sederhana (IKS), sekali gus memberi manfaat langsung kepada rakyat,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Pelancaran Perayaan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah tahun 2026 di Dewan Masyarakat Papar, di sini, hari ini. 


Joachim memaklumkan pelbagai program sampingan turut dirancang sepanjang bulan, termasuk di kawasan luar bandar, bagi memastikan penglibatan menyeluruh komuniti serta memperluas pendedahan kepada warisan budaya tempatan.


“Usaha promosi Kaamatan akan dipergiat menerusi platform digital, selain kerjasama strategik bersama agensi pelancongan antarabangsa bagi menarik lebih ramai pelancong global, khususnya dalam kalangan generasi muda,” jelasnya.


Joachim turut menegaskan komitmen kerajaan negeri untuk terus memperkasa Kaamatan sebagai simbol perpaduan rakyat berbilang kaum, di samping memelihara warisan budaya agar terus relevan dan dihargai generasi akan datang.


Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh rakyat Sabah agar terus menghayati semangat Kaamatan dengan memperkukuh perpaduan, memupuk nilai saling menghormati serta bersama-sama memastikan khazanah budaya negeri kekal terpelihara.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama