Pendaftaran SKDS diperluas ke Sabah, Sarawak, Labuan bermula 4 Mei

KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengumumkan pembukaan permohonan pendaftaran Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) bagi kenderaan pengangkutan darat barangan di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan bermula 4 Mei ini.

Menurut kenyataan KPDN hari ini, langkah tersebut merupakan fasa awal peluasan pelaksanaan penyaluran subsidi diesel bagi sektor pengangkutan darat barangan ke wilayah berkenaan.

“Melalui SKDS, kenderaan yang berdaftar dan memenuhi syarat kelayakan akan menikmati subsidi diesel pada kadar semasa RM2.15 seliter yang ditetapkan kerajaan.

"Permohonan boleh dibuat secara dalam talian menerusi portal MySubsidi bermula jam 9 pagi pada tarikh berkenaan," katanya

KPDN memaklumkan, antara syarat kelayakan yang ditetapkan termasuk memiliki Lesen Kenderaan Motor (LKM) yang sah, berdaftar sebagai kenderaan perdagangan dengan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah atau Sarawak serta berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), pihak berkuasa tempatan atau Suruhanjaya Koperasi Malaysia.

Selain itu, kenderaan juga perlu tersenarai dalam 23 kategori yang diluluskan di bawah sistem berkenaan.

Dalam pada itu, pembelian diesel bersubsidi akan dilaksanakan menggunakan kaedah kad armada (fleet card) melalui syarikat minyak yang dipilih oleh pemohon.

“Tempoh pemprosesan dan penghantaran fleet card dianggarkan antara dua hingga tiga minggu, bergantung kepada proses dalaman syarikat minyak,” jelas kenyataan itu.

KPDN turut mengingatkan pemohon supaya memastikan LKM atau cukai jalan sentiasa dikemas kini bagi mengekalkan kelayakan menerima subsidi pada bulan berikutnya.

Sehubungan itu, kementerian menyeru semua syarikat dan entiti perniagaan dalam sektor pengangkutan darat barangan di Sabah, Sarawak dan Labuan yang layak agar mengambil peluang memohon kemudahan tersebut.

“Kerajaan kekal komited memastikan pelaksanaan penyasaran subsidi dilakukan secara seimbang, inklusif dan berkesan demi kesejahteraan rakyat serta kestabilan ekonomi negara,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama