Isteri koma: 'Setiap hari saya pesan dia kuat demi anak-anak'


KOTA KINABALU: 'Setiap hari saya pesan isteri supaya kuat semangat demi anak-anak'

Itu luahan Jamri Herry, 40, ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), di sini, malam tadi selepas membawa pulang isterinya, Ruhana Joseph, 34, yang masih tidak sedarkan diri sejak kira-kira 10 hari lalu.

Menurutnya, sepanjang tempoh isterinya dirawat di Vietnam, beliau tidak pernah berhenti memberi kata-kata semangat walaupun berdepan situasi penuh mencabar.

“Saya selalu cakap dengan dia supaya jangan risau dan ingat anak-anak di rumah. Saya harap dia dengar walaupun tidak sedarkan diri.

“Saya juga lap muka dia dan berselawat, ada kalanya nampak sedikit pergerakan pada mata. Saya anggap itu tanda dia masih kuat melawan,” katanya.

Jamri berkata, perjalanan pulang ke Sabah selama lebih enam jam itu turut menguji ketabahannya apabila keadaan isterinya sebelum itu tidak stabil.

“Pada awalnya bacaan oksigen jantung dia turun hingga sekitar 90, namun ketika dalam perjalanan ke Kuala Lumpur, keadaannya tiba-tiba stabil.

“Alhamdulillah, doktor pun terkejut dengan perubahan itu. Saya percaya ini semua berkat doa keluarga dan rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau mengakui sepanjang berada di Vietnam, dirinya tidak dapat menahan emosi melihat keadaan isterinya yang kritikal.

“Hanya Allah SWT yang tahu apa yang saya lalui. Saya menangis siang dan malam. Pada hari ketiga, saya benar-benar berserah kerana tidak tahu apa lagi yang boleh dibuat selain berdoa,” katanya.

Dalam pada itu, Jamri berkata, beliau turut berdepan kekangan kewangan untuk meneruskan rawatan isterinya, namun bersyukur apabila menerima bantuan daripada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor serta beberapa pihak lain termasuk Datuk Azrul Ibrahim yang tampil membantu.

“Saya amat berterima kasih kepada kerajaan negeri Sabah khususnya Datuk Seri Panglima Hajiji dan Datuk Azrul serta semua pihak yang membantu saya, termasuk agensi berkaitan.

“Bantuan itu memberi harapan untuk saya teruskan rawatan isteri,” katanya.

Menurutnya, isterinya akan meneruskan rawatan di Hospital Queen Elizabeth II, termasuk menjalani imbasan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar penyakit, sama ada melibatkan pendarahan otak atau strok.

“Doktor masih belum dapat sahkan punca sebenar kerana setiap doktor ada pandangan berbeza.

“Apa pun, saya terus berharap dan berdoa agar isteri saya kembali sembuh,” katanya.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama