Rogol anak kandung, bapa mengaku bersalah tujuh pertuduhan

Tertuduh dibawa dari bilik bicara selepas mengaku salah atas tujuh pertuduhan merogol anak kandungnya di Mahkamah Sesyen Tawau, hari ini. Foto | SS


TAWAU : Seorang bapa mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas tujuh pertuduhan merogol anak kandungnya antara Disember 2025 hingga Mac lalu.

Tertuduh berusia 53 tahun yang juga seorang guru di sebuah pusat tuisyen di Lahad Datu membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Ahmad Faizadh Yahaya.

Mengikut semua pertuduhan, lelaki itu didakwa merogol anak perempuan sulungnya berusia 25 tahun di beberapa hotel di sini, bermula Disember tahun lalu dengan kejadian terakhir pada 18 dan 19 Mac lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lapan tahun dan tidak melebihi 30 tahun serta sebatan tidak kurang 10 kali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Haikal Hazwan Md Yatin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 23 Jun depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan perubatan mangsa sebelum hukuman dijatuhkan.

Pada 8 April lalu, Mahkamah Sesyen Lahad Datu menjatuhkan hukuman penjara keseluruhan 165 tahun terhadap tertuduh selepas dia mengaku bersalah atas 11 pertuduhan merogol dua anak perempuannya yang masing-masing berusia 25 dan 22 tahun.

Hakim Suhailla Selag menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun bagi setiap pertuduhan yang dijalankan secara berasingan, selain memerintahkan hukuman sebatan sebanyak 10 kali bagi setiap pertuduhan.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama