Pelancaran Laporan Tiga Tahun Kaamatan International Week 2024-2026 Jumaat Depan

 

KOTA KINABALU : Laporan Tiga Tahun Kaamatan International Week 2024-2026 bakal dilancarkan pada 29 Mei depan.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kaamatan International Week, Datuk Patinggi Andrew Ambrose, laporan itu merupakan sebahagian usaha mendokumentasikan input strategik dan cadangan pakar antarabangsa bagi memperkasakan perayaan Kaamatan di peringkat global.

"MICC dan Jungle Food Labs 2026 bakal melakar sejarah baharu dalam pendokumentasian warisan kebudayaan apabila melancarkan Laporan Tiga Tahun Kaamatan International Week 2024-2026 pada 29 Mei nanti.

"Dalam laporan ini akan menghimpunkan syor daripada pelbagai pihak berkepentingan termasuk agensi multilateral, universiti, serta pengkaji budaya dari United Kingdom, Bangkok, dan Timur Laut India.

"Pelancaran laporan tersebut adalah sebagai kesinambungan dengan sambutan World Day for Cultural Diversity for Dialogue and Development dalam rangka Kaamatan International Week 2026.

"Laporan ini merupakan akauntabiliti kami kepada pemegang taruh khususnya Kerajaan Negeri, KDCA, komuniti budaya dan rakan antarabangsa untuk memperlihatkan bagaimana Kaamatan boleh diperkasa sebagai platform budaya, ekonomi komuniti, biodiversiti dan diplomasi kebudayaan," katanya ketika ditemu bual dalam program Morning Kinabalu di stesen radio Kupi-Kupi FM di sini, pada Selasa.

Menurut beliau, laporan tersebut bukan sahaja berfungsi sebagai dokumen rujukan, malah menjadi cerminan transformasi Kaamatan daripada perayaan budaya kepada platform ilmu, penyelidikan, inovasi makanan, biodiversiti dan ekonomi komuniti.

Dalam pada itu, Andrew turut mengulas mengenai inisiatif Jungle Food Labs yang diperkenalkan sebagai platform inovasi makanan indigenous peoples dan biodiversiti sebagai salah satu agenda utama untuk diketengahkan pada peringkat KDCA.

"Inisiatif tersebut diilhamkan oleh wacana global Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO) mengenai sistem makanan lestari, biodiversiti dan pengetahuan komuniti melalui Forum Dunia Pemuda Orang Asal di Roma Itali pada 2023 yang diasaskan oleh saya sendiri.

"Konsep Jungle Food Labs ini akan menunjukkan bahawa sistem makanan tradisional masyarakat peribumi mempunyai nilai saintifik, nutrisi, ekologi dan budaya yang tinggi selain bertujuan menonjolkan kepakaran orang asal dalam menguruskan sumber makanan dari hutan dan sungai secara mampan," tambahnya.

Beliau menjelaskan sekiranya konsep ini dapat diterapkan secara meluas secara tidak langsung membantu memelihara hutan daripada kemusnahan kerana kita membuktikan bahawa hutan bukan hanya kawasan hijau, tetapi juga sumber makanan, ubatan, biodiversiti, identiti dan ilmu pengetahuan masyarakat KadazanDusun.

Andrew juga memaklumkan pihaknya kini giat membina jaringan ilmu dan kerjasama strategik dengan rakan antarabangsa termasuk UNESCO, UNDP, IUCN, FAO dan institusi akademik bagi memperkukuh Kaamatan sebagai platform budaya dan kelestarian.

 

"Pada 29 Mei nanti, orang ramai bakal dihidangkan dengan keunikan menu makanan hutan yang menggabungkan elemen ulam-ulaman, sayuran rimba, hasil sungai, herba tempatan, makanan fermentasi tradisional dan sumber protein alternatif mengikut kesesuaian komuniti.

"Menu yang akan dihidangkan ini mencerminkan keunikan biodiversiti kita yang dipengaruhi oleh musim, altitud, ekosistem hutan, sungai dan amalan komuniti setempat.

"Ia bukan sahaja satu hidangan, malah satu bentuk pendidikan kepada masyarakat mengenai kepentingan menghargai warisan makanan peribumi," ujarnya.

Andrew turut memaklumkan penganjuran Kaamatan International Week adalah bagi menjadikan Sabah sebagai hab global bagi kebudayaan masyarakat beradat mulia, diplomasi budaya, inovasi makanan tradisional dan pembangunan lestari berasaskan komuniti.

Laporan setebal kira-kira 40 hingga 60 muka surat itu merupakan sintesis strategik daripada dokumen kajian, input persidangan dan bahan rujukan melebihi 200 muka surat akan dilancarkan di Lamin Tambunan, Koisaan Cultural Village, KDCA.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama