KOTA KINABALU: Seorang bekas guru tahfiz di Labuan yang didakwa melakukan serangan seksual terhadap seorang pelajar lelaki berusia 13 tahun pada 2022 dibebaskan daripada pertuduhan dikenakan ke atasnya.
Muhammad Abdullah Jabeer Ali, 26, yang sebelum ini mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 selepas didakwa di Mahkamah Sesyen Labuan awal tahun ini, didapati tidak bersalah pada Rabu.
Hakim Dr Melissa Chia Pui Fung menjelaskan bahawa beliau tidak yakin dan tidak berpuas hati dengan keterangan lisan diberikan pengadu yang juga saksi pendakwaan dalam kes berkenaan.
“Saya tidak berpuas hati bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie bagi persoalan kedua (berhubung perbuatan menyentuh yang didakwa) dan persoalan ketiga (perbuatan itu dilakukan bagi tujuan seksual).
“Sehubungan itu, saya melepaskan dan membebaskan tertuduh serta mengarahkan semua wang jaminan dikembalikan kepada tertuduh,” katanya.
Sepanjang perbicaraan, pasukan pembelaan yang dianggotai Datuk Ram Singh, Prem Elmer Ganasan dan Prabjit Singh Gill menegaskan tertuduh tidak bersalah selain membangkitkan beberapa isu termasuk dakwaan ketidakselarasan bukti pendakwaan serta ketidakpastian mengenai tarikh dan lokasi kejadian.
Mereka turut membangkitkan isu kegagalan pegawai penyiasat ketika menyiasat alibi tertuduh kedua selain pihak pendakwaan gagal mengemukakan atau menjelaskan isu alibi seperti diarahkan mahkamah.
Terdahulu, mahkamah dimaklumkan bahawa tertuduh didakwa menyentuh dan melakukan perbuatan seksual terhadap kemaluan pelajar lelaki itu di sebuah bilik di sekolah berkenaan kira-kira jam 10.30 malam pada 15 September 2022.
