KOTA KINABALU : Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 1.0
mencapai 100 peratus pelaksanaannya sepanjang tempoh lima tahun dari 2021
hingga 2025.
Ketua Pegawai Penyelaras Sekretariat SMJ, Datuk (Datu)
Rosmadi Datu Sulai berkata, pencapaian itu membuktikan usaha kerajaan negeri
dalam memberikan yang terbaik demi kesejahteraan rakyat dan negeri Sabah.
"Satu laporan penuh pelan SMJ 1.0 telah kita bentangkan
kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman dalam masa sama membentangkan
pelan SMJ 2.0 untuk melakar sejarah baru dalam tempoh lima tahun akan datang.
"Kita juga bertukar-tukar pandangan dengan Tun Musa
berkenaan Pelan SMJ 2.0 supaya apa yang kita lakar mengenai pelan pembangunan
tersebut lebih menjurus kepada kesejahteraan rakyat dan melonjakkan ekonomi
negeri Sabah ke tahap yang lebih maju", jelasnya ketika ditemui media
selepas kunjungan hormat kepada Tun Musa di Istana Seri Kinabalu, pada Rabu.
Jelasnya, antara fokus SMJ 2.0 juga adalah memberi tumpuan
khusus buat golongan belia dengan memanfaatkan potensi belia yang boleh
menyumbang buat negeri ini.
Selain menyerahkan laporan penuh pencapaian pelan
pembangunan SMJ 1.0, kunjungan tersebut juga adalah untuk mendapatkan khidmat
nasihat daripada Tun Musa mengenai pelan SMJ 2.0 bagi memastikan pelan tersebut
memberikan impak yang positif kepada rakyat dan negeri Sabah.
Hadir sama, Ketua Penolong Pengarah (Kesejahteraan dan
Transformasi Rakyat), Mohd Izwan Izzuddin Ramlan; Ketua Penolong Pengarah
(Pengurusan Inisiatif), Faridah Ilah; Penolong Pengarah (Pengurusan Inisiatif),
Mohd Shafiq Abdullah Salleh dan Penolong Pengarah (Pegawai Khas Ketua Pegawai
Penyelaras), Alorenso Sampaladon.
Pelan pembangunan SMJ 1.0 (2021-2025) telah dilancarkan
secara rasmi oleh Ketua Menteri Sabah pada 29 Mac 2021, manakala pelan
pembangunan SMJ 2.0 (2026-2030) pada 30 Januari 2026 yang lalu.
