KOTA KINABALU : Kumpulan Sawit
Kinabalu menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM4.5 juta kepada Majlis Ugama
Islam Sabah (MUIS).
Penyerahan zakat perniagaan itu
disampaikan oleh Pengerusi Kumpulan Sawit Kinabalu, Datuk Hazem Mubarak Musa
mewakili Kumpulan Sawit Kinabalu kepada Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri
(Hal Ehwal Agama), Datuk Isnin Aliasnih sambil disaksikan Yang di-Pertua Negeri
Sabah, Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu, pada Rabu.
Isnin ketika ditemui media
memaklumkan jumlah kutipan zakat di Sabah bagi tahun 2026 setakat 13 Mei ini
adalah sebanyak RM60.45 juta manakala jumlah agihan zakat mencatat RM65.85
juta.
Beliau berkata, zakat penggajian
merekodkan kutipan tertinggi iaitu RM24.06 juta atau 39.8 peratus daripada
keseluruhan kutipan zakat di negeri ini, diikuti zakat perniagaan sebanyak
RM14.64 juta bersamaan 24.23 peratus.
Menurutnya, bagi agihan zakat
pula, golongan fakir menerima agihan tertinggi sebanyak RM25.19 juta atau 38.27
peratus, diikuti asnaf miskin RM11.73 juta dan fisabilillah RM9.84 juta.
Turut menyaksikan penyerahan
tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif MUIS, Datuk Ramlan Awang Ali.
Sementara itu, Hazem memaklumkan
penyerahan zakat tersebut merupakan hasil kutipan zakat perniagaan anak
syarikat Sawit Kinabalu iaitu Borneo Samudera Sdn Bhd bagi tahun haul 2024 dan
2025.
Beliau menegaskan, Kumpulan Sawit
Kinabalu terus komited melaksanakan tanggungjawab pembayaran zakat perniagaan
sejajar dengan prestasi kewangan syarikat yang mampan dan berkembang.
Katanya, usaha itu merupakan satu
amanah yang diharap dapat memberi manfaat berterusan kepada golongan memerlukan
selain menyokong pembangunan sosioekonomi masyarakat melalui institusi zakat
negeri.
Turut hadir, Pengarah Urusan
Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sawit Kinabalu, Datuk Victor
Ationg bersama barisan Ahli Lembaga Pengarah syarikat.
