Padah intai wanita mandi, lelaki dicekup polis di Tawau

TAWAU: Tindakan tidak bermoral seorang lelaki yang dipercayai menghendap seorang wanita ketika mandi membawa padah apabila dia berjaya diberkas polis di kawasan PPR Gudang 4, di sini.

Dalam kejadian itu, mangsa dikatakan menyedari kehadiran suspek selepas ternampak seorang lelaki tidak dikenali sedang mengintainya ketika berada di bilik mandi rumahnya sebelum membuat laporan polis.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, bertindak atas laporan diterima, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Tawau bersama Balai Polis Bombalai menjalankan siasatan dan semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan kejadian.

Menurutnya, hasil risikan dan maklumat diperoleh membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 30 tahun yang disyaki terbabit dalam kejadian itu.

“Dalam serbuan dijalankan, polis turut merampas sehelai baju dan seluar dipercayai dipakai suspek semasa melakukan perbuatan menghendap berkenaan.

“Suspek bersama barang rampasan kemudian dibawa ke balai polis untuk tindakan dan siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 507A Kanun Keseksaan.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama