Warga emas ditemukan maut dalam kebakaran rumah di Papar

PAPAR: Seorang wanita warga emas ditemukan meninggal dunia selepas rumah yang didiaminya musnah dalam kebakaran di Kampung Seri Tanjung Pengalat Kecil, awal pagi tadi. 

Dalam kejadian kira-kira jam 6.20 pagi itu, mangsa berusia 72 tahun ditemui tidak sedarkan diri di kawasan bilik mandi rumah dua tingkat jenis separuh kekal berkenaan.

Pengganti Ketua Balai Balai Bomba dan Penyelamat Papar, Hamdani Harith berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 6.29 pagi sebelum sepasukan tujuh anggota bersama sebuah jentera FRT dan EMRS digerakkan ke lokasi.

Menurutnya, pasukan bomba tiba di lokasi kira-kira enam minit kemudian dan mendapati rumah berkeluasan 40x60 kaki itu telah terbakar hampir 90 peratus.

“Operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran sepanjang 200 kaki dengan dua pancutan air yang diperoleh daripada pili bomba berhampiran.

“Mangsa berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba selepas ditemui di kawasan bilik mandi pada jam 7.57 pagi,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Katanya, pasukan bomba turut berdepan kesukaran komunikasi berikutan tiada liputan GIRN di lokasi kejadian.

“Bagaimanapun, operasi berjaya dikawal pada jam 7.30 pagi sebelum ditamatkan sepenuhnya pada jam 10.36 pagi. 

"Punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama