Orang ramai diingatkan waspada scammer menyamar PA Menteri KPDN

KOTA KINABALU: Orang ramai diminta berwaspada terhadap individu tidak bertanggungjawab yang menyamar sebagai pembantu peribadi (PA) atau wakil kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali, bagi tujuan penipuan.

Armizan berkata, pihak terbabit dipercayai menggunakan namanya untuk menghubungi orang ramai berkaitan pelbagai urusan termasuk membabitkan bantuan, sumbangan dan transaksi kewangan.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan sebarang panggilan telefon, mesej atau permintaan mencurigakan yang menggunakan namanya atau pegawai kementerian.

“Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati dan tidak mudah percaya terhadap sebarang urusan yang melibatkan wang, bantuan atau sumbangan yang dibuat melalui saluran tidak rasmi.

“Semua urusan rasmi hanya dibuat secara bertulis melalui Pejabat Parlimen Papar atau Pejabat Menteri KPDN serta pegawai yang dipertanggungjawabkan,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata satu laporan polis sudah dibuat bagi membolehkan siasatan dan tindakan lanjut diambil terhadap pihak yang terbabit.

Laporan polis berkenaan dibuat oleh Setiausaha Sulit beliau, Roslie Ibrahim.

Armizan turut meminta orang ramai segera melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya menerima mesej atau panggilan meragukan yang menggunakan namanya.

Beliau turut menggesa masyarakat membantu menyebarkan peringatan itu bagi mengelakkan lebih ramai menjadi mangsa penipuan.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama