132 PATI ditahan dalam operasi imigresen di Sabah

KOTA KINABALU: Seramai 132 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam beberapa operasi penguatkuasaan dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah di Lahad Datu, Kota Kinabalu dan Sandakan, semalam.

Pengarah JIM Sabah, Datuk Sitti Saleha Habib Yussof berkata, operasi bersepadu itu dilaksanakan menerusi Ops Sapu, Ops Kutip, Ops Mahir, Ops Selera dan Ops Gegar bagi mengesan warga asing yang melanggar undang-undang imigresen negara.

Menurutnya, di Lahad Datu, seramai 81 individu diperiksa dengan 52 warga asing ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 termasuk tidak memiliki dokumen perjalanan sah dan melanggar syarat pas.

“Semua yang ditahan di Lahad Datu membabitkan warga Filipina terdiri daripada 11 lelaki dewasa, 17 perempuan dewasa, sembilan kanak-kanak lelaki dan 15 kanak-kanak perempuan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, di Kota Kinabalu pula, operasi Ops Mahir, Ops Selera dan Ops Gegar memeriksa 67 individu sebelum menahan tujuh warga asing.

“Tangkapan membabitkan enam lelaki dewasa warga Filipina dan seorang perempuan dewasa warga Indonesia kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Sitti Saleha berkata, di Sandakan, Ops Sapu memeriksa 147 individu dan menahan 73 warga asing.

Katanya, tangkapan itu membabitkan warga Filipina terdiri daripada 12 lelaki dewasa, 19 perempuan dewasa, 22 kanak-kanak lelaki dan 18 kanak-kanak perempuan.

“Turut ditahan seorang perempuan dewasa dan seorang kanak-kanak lelaki warga Indonesia,” katanya.

Beliau berkata, semua warga asing yang ditahan dibawa ke depot tahanan imigresen untuk siasatan dan tindakan lanjut.

“JIM Sabah akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi membanteras kehadiran PATI selain memastikan pematuhan undang-undang imigresen negara sentiasa dipelihara,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama