KOTA KINABALU: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah merekodkan rampasan bernilai lebih RM20.6 juta menerusi Op Tiris 4.0 sepanjang tempoh Januari hingga April tahun ini.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Amri Abd Rahman berkata, rampasan itu membabitkan pelbagai barang kawalan, kenderaan dan peralatan yang digunakan dalam kegiatan penyeludupan serta penyelewengan barang subsidi.
Menurutnya, sepanjang tempoh itu, sebanyak 54 kes direkodkan dengan 53 individu ditahan termasuk 13 warga asing.
“Secara keseluruhan, PPM Wilayah 4 Sabah merekodkan 994 kes pelbagai kesalahan bagi tempoh Januari hingga April 2026 dengan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM51,811,372.79.
“Daripada jumlah itu, Op Tiris 4.0 menyumbang rampasan bernilai RM20,660,390.50,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, kes tertinggi yang direkodkan adalah membabitkan penyeludupan minyak subsidi petrol dan diesel.
Katanya, sebanyak 43 kes direkodkan dengan 46 tangkapan dibuat termasuk 10 warga asing.
“Jumlah rampasan bahan api subsidi dianggarkan bernilai RM1,163,766.30 membabitkan 225,635 liter diesel dan petrol.
“Selain itu, sebanyak 11 kes lagi membabitkan barang kawalan lain seperti minyak masak, gula dan tong gas petroleum cecair (LPG) turut direkodkan dengan nilai rampasan keseluruhan RM30,399.50,” katanya.
Ahmad Amri berkata, pihaknya akan terus memperhebat operasi dan penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan penyeludupan yang menjejaskan ekonomi negara.
Katanya, tindakan tegas akan terus diambil terhadap sindiket serta individu yang terbabit dalam aktiviti penyelewengan barang kawalan dan bahan api bersubsidi di negeri ini.

