Sabah lokasi pertama Program Inspirasi Beli Barangan Malaysia, perkasa PMKS tempatan

KOTA KINABALU: Sabah dipilih sebagai lokasi pertama penganjuran Program Inspirasi Beli Barangan Malaysia 2026 anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sebagai usaha memperkukuh promosi dan pemasaran produk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Armizan Mohd Ali berkata, program di Sabah itu merupakan siri pertama bagi tahun ini sebelum empat lagi siri akan dianjurkan kemudian di seluruh negara.

Program di bawah inisiatif Kita Beli Barangan Malaysia (KBBM) yang berlangsung selama dua hari di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) itu bertujuan menyemarakkan sokongan rakyat terhadap produk tempatan sekali gus memperkukuh ekonomi domestik.

“Program berkenaan akan menghimpunkan usahawan dari Sabah dan Semenanjung Malaysia menerusi reruai pameran. 

“Kita juga menganjurkan forum dan sesi bicara keusahawanan hari ini dengan kerjasama Persatuan Inspirasi Wanita Sabah serta kaunter perkhidmatan agensi berkaitan bagi memberi pendedahan mengenai bantuan pembiayaan, latihan dan promosi perniagaan secara dalam talian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media, di sini selepas melawat reruai yang dipamerkan di tingkat empat SICC sempena Program Kita Beli Barangan Malaysia, hari ini. 

Program berkenaan turut disempurnakan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.

Beliau berkata, kira-kira 60 reruai usahawan tempatan yang melibatkan pelbagai sektor termasuk makanan dan minuman, gaya hidup, perkhidmatan serta kraf tangan. 

Katanya, pengunjung bukan sahaja berpeluang menyokong produk tempatan malah menikmati tawaran menarik menerusi Program Jualan Rahmah Madani yang turut diadakan sepanjang program berkenaan.

“Ratusan unit rujukan (SKU) barangan keperluan pengguna ditawarkan dengan diskaun antara 10 hingga 30 peratus menerusi Program Jualan Rahmah Madani. 

“Jadi saya menyeru orang ramai datang beramai-ramai ke SICC dan memanfaatkan peluang ini,” ujarnya. 

Tambah beliau, program bagi tahun ini turut menghimpunkan kira-kira 500 usahawan wanita dan bakal usahawan menerusi kerjasama dengan Persatuan Inspirasi Wanita Sabah.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama