PUTATAN : Masyarakat Putatan
diseru untuk memikul tanggungjawab sebagai “Rakan Lestari” dalam usaha
memelihara kebersihan, kehijauan, serta menjaga kemudahan awam daripada gejala
vandalisme demi kesejahteraan komuniti setempat.
Pegawai Daerah, Masawi Salleh
berkata, penganjuran Program Rakan Lestari 2026 bukan sekadar bertujuan
mengindahkan kawasan taman permainan, malah menjadi platform penting bagi
menyemai kesedaran mendalam mengenai kepentingan menjaga kelestarian alam sekitar.
"Inisiatif ini merupakan
langkah strategik bagi menyokong aspirasi Kementerian Kerajaan Tempatan dan
Perumahan Sabah ke arah mewujudkan masyarakat rendah karbon menerusi
pembentukan komuniti hijau.
"Program ini juga berperanan
sebagai medium untuk memperkukuh kerjasama komuniti setempat melalui aktiviti
kemasyarakatan seperti gotong-royong, pengindahan kawasan, serta aktiviti
rekreasi yang memfokuskan kepada persekitaran yang bersih dan kondusif,”
katanya ketika merasmikan program tersebut di Taman Permainan Taman Teluk
Villa, di sini hari ini.
Masawi yang juga Pengerusi Majlis
Daerah Putatan memberi amaran tegas terhadap perbuatan vandalisme yang bukan
sahaja mencacatkan pemandangan, malah merugikan pihak berkuasa serta penduduk
setempat.
"Taman permainan merupakan
lokasi tumpuan komuniti, khususnya golongan kanak-kanak dan keluarga. Justeru,
kemudahan rekreasi ini perlu dipelihara sebaik mungkin agar ia sentiasa dalam
keadaan bersih, selamat, dan selesa untuk digunakan," tegasnya.
Dalam pada itu, beliau turut
menggalakkan warga Putatan untuk menyokong kempen “Zero Plastic Bag” dengan
mengurangkan penggunaan plastik sekali guna, di samping membudayakan penggunaan
beg guna semula serta amalan kitar semula bagi kelestarian jangka panjang.
Beliau menambah, kejayaan dalam
usaha memelihara alam sekitar memerlukan komitmen kolektif daripada pelbagai
pihak, termasuk agensi kerajaan, sektor swasta, badan bukan kerajaan (NGO), dan
komuniti setempat.
Masawi berharap program berkenaan
dapat diteruskan serta diperluaskan ke kawasan perumahan lain bagi memastikan
lebih ramai penduduk dapat bersama-sama memupuk budaya hidup yang bersih,
hijau, dan harmoni.
Turut hadir, Ketua Pegawai
Perkhidmatan Korporat Sabah Electricity, Junainah Abbie; Pengerusi Kawasan
Rukun Tetangga (KRT) Taman Teluk Villa, Malai Mansor Malai Kassim; serta
Jurutera Majlis Daerah Putatan, Goh Wang Siang.

