PUTATAN : Masalah infestasi tikus di daerah ini tidak lagi
boleh dianggap sebagai isu remeh kerana ia berpotensi mencetuskan krisis
kesihatan awam termasuk penularan penyakit maut seperti Leptospirosis atau
kencing tikus.
Menurut Pegawai Daerah Putatan, Masawi Salleh usaha pihak
berkuasa tempatan (PBT) untuk membasmi infestasi tikus tidak akan berjaya tanpa
kerjasama semua pihak.
"Tahap kebersihan persekitaran, terutamanya di kawasan
tumpuan awam seperti pasar dan premis makanan, perlu diperketatkan bagi
memastikan rantaian penyakit bawaan tikus dan Salmonella dapat diputuskan
sepenuhnya.
“Kehadiran tikus bukan sahaja menjejaskan imej kebersihan
daerah, malah mengundang risiko kesihatan yang mampu membawa maut jika langkah
pencegahan menyeluruh tidak diambil.
“Program hari ini adalah langkah proaktif untuk menyuntik
kesedaran masyarakat mengenai pengurusan sisa pepejal yang teratur. Namun,
kejayaan sebenar bergantung kepada penglibatan menyeluruh komuniti, peniaga,
dan pemilik premis,” katanya.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa
Keindahan dan Kebersihan Bandar Majlis Daerah Putatan (MDP), Mary Tolong Wong
ketika merasmikan program Kempen Membasmi Infestasi Tikus Daerah Putatan Tahun
2026 di Pasar Taman Jumbo, Petagas di sini, pada Khamis.
Mengulas lanjut, Masawi menyeru para peniaga agar memastikan
sisa makanan diurus dengan sempurna dan menggunakan tong sampah bertutup bagi
mengelakkan kawasan premis menjadi tempat pembiakan tikus.
Kempen anjuran MDP dengan kerjasama Kementerian Kerajaan
Tempatan dan Perumahan (KKTP) itu dihadiri Ahli-ahli Majlis Daerah Putatan,
pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Ketua Rukun Tetangga Teluk Villa dan Taman
Jumbo dan peniaga sekitar Taman Jumbo.
Dalam majlis yang sama, Theresa Ajin berjaya dinobatkan
sebagai pemenang bagi Pertandingan Inovasi Cipta Perangkap Tikus, yang membawa
pulang hadiah wang tunai RM300 serta sijil.
Turut hadir, Penolong Pegawai Kesihatan dan Persekitaran
MDP, Syadzreel Amri Azhar dan Penolong Akauntan MDP, Fadzlun Yuka.
