KOTA KINABALU : Seramai 43
keluarga merangkumi golongan asnaf, ibu tunggal serta kumpulan B40 di sekitar
Karambunai dan Rampayan menerima sumbangan 'Kotak Kasih MADANI' sempena Program
Santuni Rakyat, di sini hari ini.
Daripada jumlah tersebut,
sebanyak 25 kotak sumbangan diagihkan kepada keluarga di Kampung Wak Wak,
Karambunai, manakala baki 18 kotak lagi diserahkan kepada penduduk yang
memerlukan di Kampung Tobur, Rampayan.
Majlis penyerahan tersebut
disempurnakan oleh wakil Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah
dan Sarawak), Rafie Jaffree dan Baslan Saini yang masing-masing menyantuni
penerima di kedua-dua kampung berkenaan.
Inisiatif kemasyarakatan ini
merupakan sebahagian daripada pengisian Program Satelit Khas Kenduri Rakyat
MADANI yang diselaraskan oleh Jabatan Penerangan (JAPEN) Sabah dengan kerjasama
Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU).
Sehubungan itu, orang ramai
dijemput memeriahkan acara kemuncak Program Satelit Khas Kenduri Rakyat MADANI
di Padang SK Talungan, Telipok pada Sabtu ini yang akan dihadiri oleh Menteri
di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah Sarawak), Datuk Ts Mustapha Sakmud.
Turut hadir, Timbalan Pengarah
Jabatan Penerangan Negeri Sabah, Azman Sipan, Ketua Penolong Pengarah Bahagian
Perkhidmatan Komunikasi dan Pembangunan Masyarakat, Peter Tong Ah Pin dan Ketua
Kampung Kg Tobur, Rampayan, Ag Samsu Pangiran Mubin.
