Lori bawa barang kawalan tanpa permit dicekup di Kg. Klias

BEAUFORT: Tindakan seorang lelaki membawa pelbagai barang kawalan tanpa permit membawa padah apabila lori dipandunya ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah di Kampung Klias, Jalan Bypass, di sini, semalam.

Dalam operasi kira-kira jam 3 petang itu, anggota PPM menahan sebuah lori dalam keadaan mencurigakan sebelum menemui pelbagai barang kawalan dipercayai disimpan dan dibawa tanpa kebenaran sah.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Amri Abd Rahman berkata, pemeriksaan lanjut mendapati lori terbabit membawa tong gas petroleum cecair (LPG), gula pasir jenama Prai, minyak masak jenama Rusa Terbang dan Udang Emas serta minyak petrol.

Menurutnya, pemandu lori warga tempatan berusia 52 tahun itu gagal mengemukakan permit membeli, membawa dan menyimpan minyak petrol yang dikeluarkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

“Susulan itu, lelaki terbabit ditahan bagi membantu siasatan lanjut dan semua barang kawalan berkenaan turut dirampas.

“Anggaran keseluruhan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM9,218,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Katanya, PPM Wilayah 4 Sabah akan terus memperkukuh operasi pemantauan dan penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti penyelewengan barang kawalan yang boleh menjejaskan keselamatan serta kesejahteraan masyarakat.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti jenayah dan penyeludupan diminta menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi membantu usaha penguatkuasaan demi keselamatan negara,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama