Giliran Sipitang, Semporna digempur JIM Sabah, 54 warga asing ditahan

KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah menggempur Sipitang dan Semporna menerusi operasi penguatkuasaan bersepadu yang membawa kepada penahanan 54 warga asing atas pelbagai kesalahan imigresen.

Pengarah JIM Sabah, Datuk Sitti Saleha Habib Yussof berkata, operasi menerusi Ops Sapu serta Ops Kutip itu dijalankan bagi membanteras kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI) di negeri ini.

Menurutnya, di Sipitang, seramai 68 individu diperiksa dalam Ops Sapu yang dijalankan dan hasilnya 50 warga asing ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.

“Antara kesalahan dikesan termasuk tidak memiliki dokumen perjalanan sah dan melanggar syarat pas yang dibenarkan.

“Tangkapan di Sipitang membabitkan 14 lelaki dewasa warga Filipina, 12 wanita dewasa, 10 kanak-kanak lelaki dan 12 kanak-kanak perempuan serta dua lelaki dewasa warga Pakistan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, di Semporna pula, Ops Sapu dan Ops Kutip dijalankan dengan pemeriksaan terhadap enam individu sebelum empat lelaki warga Pakistan ditahan atas kesalahan imigresen.

Katanya, semua warga asing yang ditahan dibawa ke depot imigresen untuk siasatan lanjut dan tindakan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

“JIM Sabah akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi membanteras kehadiran PATI selain memastikan undang-undang imigresen negara sentiasa dipatuhi,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama