Heraldine wakili Malaysia ke Rome, angkat menu tradisi Kaamatan ke pentas antarabangsa

Heraldine @Kulipot (kanan) dan Andrew (kiri) ketika ditemui media selepas program Jungle Food Lab 2026, di Lamin Tambunan, di sini.

KOTA KINABALU: Minat mendalam terhadap masakan tradisional sejak kecil mendorong seorang anak muda wanita, berusia 19 tahun, mewakili Malaysia ke Forum Makanan Sedunia di Rome, Itali, selepas mengetengahkan lapan menu warisan kampung dalam program Jungle Food Lab 2026 sempena sambutan Kaamatan.

Heraldine Jamaian atau lebih mesra dengan panggilan Kulipot dipilih bagi membawa makanan tradisional Sabah ke peringkat global, sekali gus memperkenalkan identiti budaya Sabah kepada lebih 175 negara di bawah Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO).

Sebelum penyertaan ke pentas antarabangsa itu, Heraldine terlebih dahulu menarik perhatian menerusi hidangan berkonsepkan warisan kampung yang dipersembahkan di rumah tradisi suku kaum Tambunan sempena program berkenaan.

Antara menu yang disediakan termasuk bubur daging salai rusa, sup ikan sungai, hinapot wagas campuran, sup ayam kampung salai, ikan pinarasakan, kerabu pakis dan hinangod.

Menurutnya, selain hidangan utama, pelbagai makanan sampingan tradisi turut dihidangkan termasuk nonsom bambangan, nonsom tuhau, tonsi bosou, linanggang serta minuman tradisional masyarakat tempatan.

“Kami sebenarnya sediakan tujuh menu, tetapi ada permintaan tambahan, jadi keseluruhannya lapan hidangan disediakan.

“Semua makanan ini menggunakan bahan tradisional dan resipi kampung yang diwarisi daripada orang tua kami,” katanya ketika ditemui pemberita selepas memperkenalkan menu tersebut.

Heraldine berkata, minat dalam masakan tradisional sudah bermula sejak kecil apabila sering mengikuti ibu bapanya menyediakan makanan di rumah.

“Saya belajar daripada ibu bapa sejak kecil. Saya suka ikut mereka memasak dan dari situ saya belajar tentang rasa, bahan dan proses penyediaan makanan tradisi,” jelasnya.

Beliau turut meluahkan rasa terharu dan bangga apabila diberi peluang untuk membawa makanan tradisi Sabah ke pentas dunia.

“Saya sangat bersyukur kerana diberi peluang ini. Saya akan cuba memperkenalkan makanan tradisional Sabah kepada orang luar supaya mereka lebih mengenali budaya kita,” ujarnya.

Menurutnya, kira-kira 80 peratus hidangan yang diperkenalkan berpotensi diketengahkan ke luar negara kerana mempunyai keunikan tersendiri.

Dalam pada itu, beliau berharap lebih ramai golongan muda mempelajari dan menghargai makanan tradisional agar warisan tersebut tidak pupus ditelan zaman.

“Ramai belia sekarang kurang tahu tentang makanan tradisional dan proses penyediaannya, sebab itu saya harap generasi muda lebih berminat mempelajari warisan ini,” tambahnya.

Sementara itu, Pengerusi Minggu Antarabangsa Kaamatan dan Makmal Makanan Hutan (Jungle Food Lab) 2026, Datuk Patinggi Andrew Ambrose berkata, Heraldine akan ditaja oleh Kerajaan Negeri dan KDCA untuk mewakili Malaysia ke Forum Makanan Sedunia di Rome, Itali pada Oktober ini.

Menurutnya, penyertaan itu turut melibatkan Forum Belia Orang Asal (The Indigenous Youth Forum) yang dijangka berlangsung di bawah FAO pada November atau Disember, sebagai platform memperkukuh suara komuniti dan warisan makanan tradisional di peringkat global.

Katanya, penglibatan Heraldine bukan sahaja membawa nama Sabah, tetapi juga mengangkat identiti Kaamatan ke pentas antarabangsa yang melibatkan lebih 175 negara.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama