KOTA KINABALU: Semua rumah tradisi tidak dibenarkan untuk menjual atau menghidangkan minuman beralkohol import bagi menghormati nilai budaya dan tradisi masyarakat tempatan di sini, sempena Pesta Kaamatan tahun ini.
Larangan itu dilaksanakan susulan perdebatan hangat di media sosial berkaitan penjualan minuman beralkohol sempena sambutan itu sepanjang acara kemuncak pada 30 dan 31 Mei ini.
Bagaimanapun, minuman tradisi masyarakat tempatan masih dibenarkan dihidangkan sebagai sebahagian daripada adat dan warisan budaya kaum-kaum di Sabah.
Timbalan Ketua Menteri merangkap Pengerusi Main Organising Committee (MOCC) Pesta Kaamatan, Datuk Seri Panglima Joachim Gunsalam berkata, keputusan itu dibuat bagi memastikan sambutan Kaamatan terus menghormati nilai budaya dan tradisi masyarakat tempatan.
“Kali ini saya tekankan, semasa lawatan atau rumah terbuka nanti semua rumah tradisi tidak dibenarkan menjual alkohol yang import.
“Tetapi minuman tradisi dibenarkan dihidang di rumah-rumah tradisi kerana ia adalah sebahagian daripada budaya masyarakat kita,” katanya ketika ditemui pemberita pada sidang media Pesta Kaamatan 2026, pada Selasa.
Beliau turut mengingatkan pengunjung supaya menjaga keselamatan diri memandangkan sambutan kemuncak Kaamatan dijangka menerima kehadiran puluhan ribu pengunjung.
Dalam pada itu, Pengerusi MICC Pesta Kaamatan, Datuk Dr Jeffrey Kitingan berkata sambutan Kaamatan tahun ini turut menampilkan kelainan menerusi penganjuran program ‘Jungle Food’ yang akan berlangsung pada 29 Mei di Hongkod Koisaan KDCA.
Katanya, program yang diadakan buat pertama kali di KDCA itu akan mengetengahkan makanan tradisional berasaskan sumber hutan Sabah sebagai usaha mempromosikan keunikan gastronomi tempatan kepada pengunjung.
Menurut beliau, program tersebut sebelum ini pernah dianjurkan di daerah Penampang namun tahun ini diperluaskan ke peringkat KDCA bagi memeriahkan lagi pengisian Kaamatan 2026.
