LAHAD DATU: Seorang lelaki cedera parah selepas kereta Perodua Viva dinaikinya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah Proton Saga di Jalan Tengah Nipah berhampiran PUSPAKOM, di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.35 pagi itu, mangsa berusia 20 tahun dilaporkan tersepit di tempat duduk hadapan sebelum berjaya dikeluarkan pasukan bomba menggunakan peralatan khas.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi talian NG999 sebelum sepasukan anggota bersama jentera dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Pasukan bomba tiba di lokasi kira-kira lima minit kemudian dan mendapati kemalangan membabitkan dua kenderaan iaitu Perodua Viva dan Proton Saga.
“Terdapat tiga mangsa dalam Perodua Viva terdiri daripada seorang lelaki dan dua wanita. Dua wanita berjaya keluar sendiri daripada kenderaan, manakala lelaki terbabit tersepit,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, dua individu yang berada di dalam Proton Saga pula tidak mengalami sebarang kecederaan.
Katanya, anggota bomba kemudian bertindak mengeluarkan mangsa lelaki yang tersepit menggunakan ‘rescue tools’ sebelum diberikan rawatan awal oleh Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS).
“Mangsa yang cedera seterusnya diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan lanjut.
“Selepas memastikan tiada bahaya lain di lokasi kejadian, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 6.15 pagi,” katanya.
