‘Cikgu Farhan’ rupanya rekaan, individu tampil mohon maaf


RANAU: Individu yang mencetuskan kontroversi menerusi hantaran tular mengenai seorang guru kononnya meredah hutan selama tiga jam sambil memikul beras untuk murid di SK Pinawantai, tampil memohon maaf secara terbuka selepas mengakui cerita itu adalah rekaan semata-mata.

Ronisi Jamaul mengakui hantaran dimuat naik di Facebook pada 12 Mei lalu bertajuk ‘Demi Murid, Cikgu Farhan Redah Hutan 3 Jam’ hanyalah gurauan tanpa memikirkan kesan terhadap masyarakat serta pihak yang terlibat.

Menurutnya, dia tidak menyangka hantaran berkenaan menjadi tular sehingga menyentuh emosi ramai pihak.

“Saya mengaku cerita tersebut adalah rekaan dan gurauan semata-mata yang saya cipta di Facebook tanpa memikirkan kesan yang akan berlaku.

“Apabila melihat ramai yang bersimpati dan berkongsi kisah itu dengan penuh emosi, saya mula sedar tindakan saya mengecewakan banyak pihak serta boleh menimbulkan salah faham,” katanya menerusi kenyataan permohonan maaf yang dimuat naik di Facebook.

Ronisi berkata, dia benar-benar menyesali tindakannya dan mengakui kesilapan itu berlaku akibat sikap lalai serta tidak matang dalam memikirkan implikasi perkongsian berkenaan.

Katanya, dia memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya warga Sabah, penduduk Ranau dan warga Sekolah Kebangsaan (SK) Pinawantai yang terkesan dengan hantaran berkenaan.

“Saya memahami jika ada yang marah, kecewa atau sukar memaafkan saya, namun saya berharap diberi peluang untuk memperbaiki kesilapan ini dan menjadi individu lebih bertanggungjawab,” katanya.

Sebelum ini, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) menafikan dakwaan tular kononnya guru di SK Pinawantai terpaksa memikul beras untuk dihantar ke asrama sekolah.

Pengarah Pendidikan Sabah, Datuk Raisin Saidin dilaporkan berkata, dakwaan berkenaan tidak benar kerana sekolah terbabit tidak mempunyai asrama.

Menurutnya, terdapat dua sekolah menggunakan nama SK Pinawantai iaitu di Kudat dan Ranau, namun kedua-duanya tidak memiliki kemudahan asrama selain terletak berhampiran jalan raya.

Beliau turut menegaskan tiada guru bernama Farhan di SK Pinawantai, Ranau seperti didakwa dalam hantaran tular berkenaan.

JPNS turut mengingatkan orang ramai supaya lebih bertanggungjawab ketika menyebarkan maklumat berkaitan pendidikan bagi mengelakkan kekeliruan dalam masyarakat.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama